*kembali menulis berbahasa ibonda agar semua yang membaca lebih mudah untuk memahami*
Saat kucuba fahami kebisuanmu,
Aku sedar ternyata kau berbicara bahasa jiwa,
Jiwamu sayup bersuara ;
Walau jasadku dimamah bumi tp jiwaku tetap bersamamu sahabatku,
Kerana aku adalah kamu dan kamu adalah aku,
Kerana kita adalah sahabat.
25 Nov 2009- chatting bersama pelajar perubatan mesir, hampir 2 jam berborak , pelbagai aspek kami perbincangkan, akhirnya terlintas di fikiran seuntai ilham yang aku rasakan perihalnya sangat ma’aruf tapi ertinya tak mampu terungkap dengan jutaan kata, kerana ia sebuah PERSAHABATAN.
Topik yang sering ditemui di mana sahaja, sama ada ketika melewati blog atau web individu. Klik sahaja mengenai ini pelbagai perspektif mampu di gambarkan. Adakalanya jaringan persahabatan ini lebih hebat daripada kisah cinta Laila Majnun mahupun Romeo dan Juliet. Adakalanya ia juga seumpama grafik mata wang Ringgit Malaysia dan Dolar yang setiap saat turun dan naik nilainya.
Namun, tinggi atau rendah nilainya terletak pada cara bagaimana persahabatan itu dikemudi, harus di ingati fikrah (pemikiran) dan penerimaan seseorang sahabat itu berbeza dengan sahabat yang lain, sekiranya berkeinginan untuk menjadi teman terbaik kepada seorang sahabat yang lain belajarlah menghormati hak dan perasaan individu tersebut.
Tegurlah sahabat anda menggunakan kata-kata yang terbaik, gunakan bahasa selembut yang termampu, bukan sekadar mendabik dada menuding jari tanpa pernah berusaha untuk memahami siapa sahabat itu yang sebenar. Muhasabah diri sendiri terdahulu sebelum melakarkan gurisan luka di hati insan lain yang bernama sahabat. Ingatlah.. kata-kata itu walaupun tidak terlihat dek pancaindera namun hebatnya setajam mata pedang.
Duhai rakan, kawan , teman, sahabat dan kekasih…
Raikan persahabatan yang ada pada hari ini dengan jiwa terbuka, kenalilah siapa sahabat anda yang sebenar agar ukhwah yang terjalin bukan sekadar ukhwah biasa , jadikanlah jalinan tersebut sebagai batu loncatan untuk meraih redha-Nya, bersamalah berusaha untuk menjadi sahabat yang terbaik , sahabat yang sentiasa menasihati temannya , sahabat yang sentiasa hormat dengan temannya dan sahabat yang sentiasa mendoakan kesejahteraan buat temannya.
Hargailah sahabat anda sebagaimana anda mengjargai diri sendiri kerana dalam diri sahabat itu ada kamu dan dalam diri kamu pasti juga punyai sahabat. Renungkan sejenak...
……………………………………………………………………………………………………………………………………
Buat semua yang mengenali diri ini …
SALAM AIDIL ADHA , MAAF ATAS SEGALANYA,
SALAM SAYANG DARI KEMBARA2DUNIA.