THOUSANDS OF FREE BLOGGER TEMPLATES

follower (teman setia membina Ilham)

Memaparkan catatan dengan label Iman Seindah Islam (Agama). Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Iman Seindah Islam (Agama). Papar semua catatan

Sabtu, 11 Disember 2010

Sayonara si Kufur ! & U're Most Welcome My Dear Syukur.

~syukur itu kekuatan dan syukur itu penguat ketabahan~

assalamualaikum wbt, salam 1432 hijrah.

salam hujung minggu buat semua warga dunia,
"satu kata bertulis cinta telah merasukiku tak wujud tak tersentuh...hanya kurasa! dan jika wujudnya menjelma pada sebentuk hati... bukankah itu amanah dr yang kuasa ?...."

Mungkin tidak ramai yang ambil peduli sangat mengenai perubahan tahun hijrah ini kerana sejak dari lahir lagi kita telah di’doktrin’ untuk mengikut perkiraan peredaran matahari sebagai kalendar tahunan kita. Betul bukan? Bagi yang masih ‘belum sempat’ untuk ambil peduli mengenai perubahan kalendar hijrah ini, tarikh-tarikh penting dalam kalendar Islam, dan kelebihan-kelebihan yang terdapat dalam bulan-bulan tertentu mengikut kalendar Islam ini, mari kita ambil peluang untuk sama2 perbaiki diri.

Post kali ini bukanlah ingin bercerita tentang sejarah hijrah Baginda Rasulullah S.A.W, bukan juga ingin bercerita tentang azam apa pula yang akan kita laung-laungkan untuk tahun baru nanti, cuma ingin meminta 5-10 minit dari para pembaca, untuk kita sama-sama muhasabah balik diri kita mengenai siapakah kita? andai kita di tengah2 antara kaum yg bersyukur dan kaum yang kufur, pernahkah kita terfikir di pihak mana kita sebenarnya.


Bersyukur itu sebenarnya berperingkat-peringkat. Ramai orang, apabila mendapat nikmat, lantas mereka memuji Allah. Mereka ucapkan ‘Alhamdulillah’. Ini bersyukur cara biasa. Ramai yang boleh bersyukur dengan cara ini. Akan tetapi, kalau setakat ucapan sahaja, ia belum lagi dikira bersyukur yang sebenarnya. Kalau setakat ucapan sahaja, tetapi tuntutan tuntutan lain dalam bersyukur itu tidak dilaksanakan, maka ditakuti ucapan ‘Alhamdulillah’ itu hanyalah untuk mempermain- mainkan atau mempersendakan Allah sahaja.

Ramai juga orang, apabila menerima nikmat atau diselamatkan dari bala bencana, lantas mereka memuji Allah dan mengucapkan ‘Alhamdulillah’. Di samping itu hati mereka benar-benar merasakan Allahlah yang telah memberi mereka nikmat itu, atau Allahlah yang telah menjauhkan mereka dari bala bencana tersebut. Mereka diberi pahala kerana merasakan syukur itu di dalam hati mereka. Ini bersyukur peringkat kedua.


Namun, menurut Imam Ghazali : untuk memanifestasikan syukur itu melalui 3 peringkat (cara) yang perlu dilakukan,

1)
diucapkan oleh lidah
2)
ditasdikkan (membenarkan) dalam hati
3)
dilaksanakan dalam perbuatan (amal)

Firman Allah;

وَإِذْ تَأَذَّنَ رَبُّكُمْ لَئِن شَكَرْتُمْ لأَزِيدَنَّكُمْ وَلَئِن كَفَرْتُمْ إِنَّ عَذَابِي لَشَدِيدٌ } : إبراهيم 7

Dan (ingatlah juga), tatkala Tuhanmu memaklumkan; “Sesungguhnya jika kamu bersyukur, pasti kami akan menambah (nikmat) kepadamu, dan jika kamu mengingkari (nikmat-Ku), Maka Sesungguhnya azab-Ku sangat pedih”.

Kedua-duanya dimiliki oleh manusia, adakala dia bersyukur dan ada kala dia kufur. Bila bersyukur, segala anugerah digunakan pada tempatnya dan bila kufur, sudah tidak tahu siapa yang memberinya dan untuk apa dimilikinya.

Syukur seringkali disalahfahami. Syukur dikira cukup disebut di mulut “Syukur Alhamdulillah atas apa dan apa……”

Syukur sama erti dengan terima kasih, dalam bahasa arab di sebut syukran. Syukur dimelayukan dan semua orang faham ertinya. Bila disebut syukur, akan terbayangkan anugerah Allah dan bila di sebut terima kasih otak terus menerjah kepada pemberian manusia.

Tetapi syukur yang sebenarnya adalah : Menggunakan sesuatu pemberian pada tempat yang betul. Kasut dipakai di kaki bukan di tangan, syukurlah tu….baju kurung dipakai oleh perempuan bukan lelaki, syukurlah tu….

Ayuh lihat lebih jauh, tangan dianugerah oleh Yang Maha Pemurah untuk digunakan pada tempat yang betul dan baik, itulah syukur. Jika diguna untuk mencuri, itulah kufur. Mata untuk melihat kebesaran, bila melihat perkara maksiat, kufur lagi…Tidak menutup aurat juga dikira kufur.

persoalannya....SIAPA SI KUFUR ITU ???

Kufur pula sinonim dengan orang kafir. Kufur adalah perbuatan dan kafir pula pelaku kufur itu. Kufur juga disebut juhud (bunyi hampir sama dengan jahat, boleh jadi jahat datang dari perkataan ni, wallhua’lam) Asal juhud, jahad. Sebut saja kafir terbayang si penyembah tokong dan selainnya. Kafir=musyrik. Kafir lawannya muslim.

Firman Allah mengenai orang2 kufur;
“Sedikit sekali dari hamba-hamba-Ku yang bersyukur.” (Surah As-Saba’: 13)

Orang islam tak buat kufur ke? Orang islam ada yang buat kufur, namanya kufur nikmat. Tidak guna anugerah Allah pada tempatnya. Orang kafir, kufur mereka lebih besar yakni menyengutukan Allah atau menyamakan Allah dengan patung sembahan mereka. Dosa syirik pada Allah ni adalah yang paling besar, kekal dalam neraka selama-lamanya. Nauzubillah…


وإذ قال لقمان لابنه وهو يعظه يا بني لا تشرك بالله ..إن الشرك لظلم عظيم : 13 سورة لقمان

Ertinya: Dan (Ingatlah) ketika Luqman Berkata kepada anaknya, di waktu ia memberi pelajaran kepadanya: “Hai anakku, janganlah kamu mempersekutukan Allah, Sesungguhnya mempersekutukan (Allah) adalah benar-benar kezaliman yang besar”

cuba kita renungkan sejenak
proses hidup manusia dgn teliti, kita akan dapati bahawa manusia ini sedetik pun tidak terlepas dari diuji. Manusia diuji dengan ujian kesusahan ataupun ujian nikmat yang silih berganti datangnya. Kemudian manusia dituntut supaya bersabar dalam menerima kesusahan serta bersyukur dalam menerima nikmat. Jadi, pada hakikatnya, apa sahaja pergolakan dan perubahan yang berlaku dalam hidup manusia ini, ia hanya mempunyai dua sifat atau dua bentuk. Sama ada ia ujian kesusahan atau ujian nikmat. Atas kedua-dua bentuk ujian ini, hati kita perlu menerimanya dengan betul, iaitu bersabar apabila menerima kesusahan dan bersyukur apabila dikurniakan nikmat kerana segalanya adalah rahmat yang pastinya ada hikmah tersembunyi. Justeru itu sama2 lah kita berusaha untuk menjadi orang yang sentiasa bersyukur dengan segala nikmat dan rahmat yang Allah berikan. Moga kita semua menjadi 'si syukur ' yang sentiasa mengingati Tuannya bukan "si kufur' yang sentiasa merengek dengan perintah dan ketentuan Tuannya. fikir2kan.


p/s : "duhai taulan... segala yg datangnya dr DIA adalah yang terbaik, maka segalanya adalah nikmat dan rahmat walaupun hanya sekecil hama. Syukur itu satu yang tidak diterjemahkan dalam struktur fizikal tetapi ia tetap ada, satu yang kita tak mampu nak tangkap tapi kita rasainya dengan taqwa. satu anugerah tak terbali dan satu amanah untuk dilaksanakan dalam diri seorang hamba. Lantas... bersyukurlah ".

Allahu a'lam.







Khamis, 3 September 2009

Sekadar Saja

Assalamualaikum wbt..
lama rasanya tak membuat sebarang entry baru
maklumlah keadaan agak sibuk sedikit
apapun tak terlambat lagi untuk mengucapkan
SALAM RAMADHAN buat semua teman tiara-ilmi-qurratu 'aini.
semoga ramadhan kali ini lebih baik daripada tahun-tahun lepas.

Jadikan bulan ramadhan untuk kita perbanyakkan ibadah dalam mencari redha Allah.
sebagaimana firman Allah ayat 183 dalam surah al-Baqarah menyatakan bahawa:-



Terjemahannya : Wahai orang-orang yang beriman ! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang yang dahulu daripada kamu, supaya kamu bertakwa ”.

seterusnya, ayat 184 daripada surah yang sama (al-Baqarah)juga menjelaskan tentang istimewanya difardhukan puasa, mari bersama kita hayati maksud firman ini.

Terjemahannya :Puasa yang diwajibkan itu ialah beberapa hari yang tertentu; maka sesiapa di antara kamu yang sakit, atau dalam musafir, (bolehlah ia berbuka), kemudian wajiblah ia berpuasa sebanyak (hari yang dibuka) itu pada hari-hari yang

lain; dan wajib atas orang-orang yang tidak terdaya berpuasa (kerana tua dan sebagainya) membayar fidyah iaitu memberi makan orang miskin. Maka sesiapa

yang dengan sukarela memberikan (bayaran fidyah) lebih dari yang ditentukan itu, maka itu adalah suatu kebaikan baginya; dan (walaupun demikian) berpuasa itu lebih baik bagi kamu daripada memberi fidyah, kalau kamu mengetahui
”.






p/s: " pose jangan tak pose... puasa seluruhnya bukan hanya puasa untuk makan dan minum sahaja..."


Jumaat, 13 Mac 2009

Keikhlasan Menghalang 4 Halangan Beribadah

KEIKHLASAN hati dan jiwa melakukan ibadat kepada Allah adalah kemuncak kepada kemurnian nurani seseorang kerana dengan sifat ikhlas saja mampu menghalang daripada perkara yang menghadang diri untuk beristiqamah. Ulama besar al-Imam Ghazali menyatakan ada empat perkara besar yang selalu menjadi penghalang untuk beribadat kepada Allah iaitu dunia, makhluk, nafsu dan syaitan. Jika diteliti maksud dunia seperti diperkatakan ilmu tasauf merangkumi semua perkara yang tidak memberi manfaat apabila seseorang kembali ke hadrat Ilahi seperti wang, harta menimbun atau pangkat.

Setiap amalan bermula dengan niat. Justeru, jika niat kerana Allah maka amalan menjadi ibadat, tetapi ia hanya adat jika sebaliknya. Setiap perbuatan harus disertai niat untuk mendapat keredaan Allah.


Keduanya ialah gangguan dan halangan makhluk Allah termasuk anak, binatang ternakan dan harta yang boleh melalaikan manusia sehingga lupa kewajipan menunaikan ibadat wajib serta sunat.

Allah berfirman yang bermaksud:

“Dan ketahuilah bahawa harta benda kamu dan anak pinak kamu itu adalah ujian kepada kamu.” (Surah al-Anfal, ayat 28)

Harta apabila sudah menimbun, ada kalanya menjadikan seseorang hamba kepada hartanya. Malah, ada yang sanggup meninggalkan tanggungjawab mengerjakan solat kerana terlalu menjaga harta benda. Ada juga ibu bapa yang melewatkan solat atau tidak mengerjakannya pada tempoh difardukan semata-mata melayan kerenah serta tuntutan anak.

Ketiganya ialah keinginan atau lebih dikenali sebagai nafsu yang sentiasa merajai diri. Penghalang dalam diri ini yang selalu sukar dilawan hingga terus tumbuh dan menyubur dalam diri setiap insan.

Manusia sering tunduk serta tewas dengan kehendak nafsu sendiri sehingga terpedaya dengan bisikan supaya meninggalkan tanggungjawab terhadap Allah. Ada pula meninggalkan solat dan puasa fardu semata-mata memenuhi dan menghormati undangan rakan.

Tidak kurang yang meninggalkan solat fardu kerana memenuhi tuntutan tugas yang memerlukan mereka sentiasa bergerak atau berada lebih lama di tempat duduk menyudahkan tugasan diberi seolah-olah sudah tiada masa lagi untuk menyiapkannya.

Keempat adalah desakan iblis dan syaitan yang sentiasa menggoda dengan tipu daya supaya manusia mengikut mereka ke arah kesesatan sehingga hari kiamat. Godaan itu datang dengan pelbagai cara dan rupa.

Ketika solat juga syaitan terus menggoda hamba Allah supaya hilang tumpuan dan kerja mereka menjadi lebih mudah apabila manusia dalam keadaan leka.

Rasulullah SAW mengajarkan doa yang bermaksud: “Aku berlindung dengan Allah daripada syaitan dan aku berlindung dengan Allah daripada kehadiran syaitan itu kepadaku.”

Pernah suatu ketika Aisyah, isteri Baginda Rasulullah SAW dalam keadaan marah. Melihatkan hal itu lalu Rasulullah SAW menegur isterinya dengan berkata: “Wahai Aisyah, kamu ini masih dikuasai syaitan kamu. Aisyah terperanjat lalu bertanyakan Baginda apakah setiap manusia dibekalkan syaitan? Lalu Rasulullah SAW menjawab: Ya, saya sendiri mempunyai satu syaitan, tetapi syaitan saya sudah masuk Islam.”

Golongan insan yang sukar diperdaya iblis dan syaitan adalah mereka yang meletakkan sifat ikhlas dan jujur di puncak ibadat kepada Allah.

Allah berfirman yang bermaksud:


“Dan tiadalah mereka diperintah melainkan supaya menyembah Allah dengan memurnikan ketaatan kepada-Nya dengan berterusan.” (Surah al-Bayyinah, ayat 5)

Firman Allah lagi yang bermaksud:

“Sesungguhnya syaitan itu adalah musuh bagi kamu semua, maka jadikanlah dia musuh (yang mesti dijauhi). Sebenarnya dia hanyalah mengajak manusia supaya menjadi penghuni neraka.” (Surah al-Fatir, ayat 6)

Kekuatan dan iltizam serta istiqamah dalam diri boleh menyingkirkan keempat-empat halangan melakukan ibadat kepada Allah. Selain niat yang ikhlas, kekuatan melawan bisikan supaya terus lalai memudahkan seseorang melaksanakan tanggungjawab sebagai khalifah Allah.

Pada masa sama, sentiasa berusaha memperbaiki diri dengan mendalami ilmu agama serta meningkatkan keimanan melalui amalan sunat kerana kesibukan melakukan perkara baik dapat mengelak daripada terjebak dengan hasutan membawa kepada kelalaian.

INFO: Penghalang ibadat

1. Dunia - semua perkara yang tidak memberi manfaat apabila seseorang kembali ke hadrat Ilahi seperti wang, harta menimbun atau pangkat.
2. Gangguan makhluk - termasuk anak, ternakan dan harta yang boleh melalaikan manusia sehingga lupa kewajipan menunaikan ibadat.
3. Nafsu - keinginan yang sentiasa merajai diri dan sukar dilawan sehingga terus subur dalam diri setiap insan.
4. Iblis dan syaitan - menggoda dengan pelbagai cara supaya manusia mengikut mereka ke arah kesesatan sehingga kiamat.

p/s: "Duhai teman, bersamalah kita memupuk keikhlasan dalam diri, jadikan kesukaran untuk mencapainya sebagai satu pendorong semangat agar tidak berputus asa, ayuh berusaha!"

Jumaat, 27 Februari 2009

Rehat Yang Panjang

Apabila seseorang itu hampir tiba ajalnya, maka Allah akan memerintahkan malaikat maut mengambil nyawanya. Ketika itu malaikat akan tahu bila seseorang itu akan mati, di mana dan dalam keadaan bagaimana. Sebelum itu malaikat tidak tahu.

Setiap orang mempunyai ketentuan ajal masing-masing. Apabila kematian seseorang itu telah ditentukan, maka ajal itu akan datang, tidak berganjak, terdahulu atau terkemudian daripada tarikh yang telah ditetapkan. Itulah ketentuan daripada Allah yang tidak dapat diingkari oleh manusia. Allah mahukan agar setiap hamba-Nya reda dengan qadak dan qadar ketentuan Allah.

Apabila nyawa seorang Islam yang beriman itu hendak diambil, Allah mewahyukan kepada malaikat maut, ``kirimkan salam-Ku kepadanya.'' Maka apabila malaikat itu datang kepadanya untuk mengambil rohnya, malaikat akan berkata: ``Tuhanmu kirim salam padamu.''

Dalam sebuah hadis lain, daripada Muhammad al-Quradzi menyatakan bahawa apabila sampai ajal seorang mukmin, datanglah malaikat maut berkata: Sejahtera di atasmu wahai kekasih Allah. Allah mengirim salam padamu. Dalam surah an-Nahl: 32 dijelaskan, orang-orang yang bertakwa ialah mereka yang dimatikan dalam keadaan yang baik oleh para malaikat dengan mengucapkan kepada mereka, ``selamatlah kamu.''

Abu Hurairah memberitahu, bahawa Rasulullah ada bersabda menyatakan bahawa sesungguhnya orang yang beriman itu apabila hendak diambil rohnya, maka datanglah malaikat rahmat yang membawa sehelai sutera putih, lalu keluarlah daripadanya wangian. Wanginya lebih harum daripada bau kasturi, sehingga sebahagian mereka dapat menghidunya. Mereka menamakannya dengan sebaik-baik nama untuknya, sehingga mereka membawanya ke sebuah pintu daripada pintu langit.

Para malaikat bertanya, apakah bau-bauan ini didatangkan dari bumi. Setiap kali ia memasuki langit, penjaga-penjaga pintu akan mengucapkan kata-kata seperti itu, sehingga dia bersama segala roh orang yang beriman.

Dalam sebuah hadis lain, Abu Hurairah memberitakan bahawa Nabi bersabda: Sesungguhnya orang mukmin itu apabila tiba ajalnya, datanglah kepadanya malaikat dengan sekeping kain sutera, padanya ada kasturi, ambar dan harum-haruman. Maka mengalirlah rohnya seperti tercabutnya sehelai rambut daripada adunan tepung dan diucapkan kepadanya: Wahai jiwa yang tenang, keluarlah dalam keadaan reda atas kamu menemui Allah dan kemuliaan-Nya. Apabila rohnya telah keluar, ia diletakkan di atas kasturi juga bau-bauan, lalu kain sutera itu pun dilipat dan dibawa bersamanya ke Illiyiin - hadis riwayat al-Barra.
Rasulullah menjelaskan bahawa roh seseorang yang beriman itu tidak akan dicabut, keluar daripada jasad sehinggalah Allah memperlihatkan tempatnya yang kekal kelak, iaitu di syurga.

Sesungguhnya, kematian bagi orang yang beriman itu adalah rehat daripada segala kedukaan dunia. Dalam keadaan seumpama ini, tidak ada sesuatu perkara yang ghaib, yang dinantikan oleh orang yang beriman, lebih baik daripada kematian.
Sesungguhnya, kehidupan di dunia ini pinjaman semata-mata. Orang yang bijak akan menjadikan dunia ini laluan semata-mata, seumpama tidak ubah orang yang menyemai, bakal dituai di akhirat kelak. Itulah orang yang mendapat hidayah Allah, mentaati perintah-Nya dan menjauhi segala larangannya.

Manusia hidup perlu berjuang. Mempunyai tanggungjawab yang mesti dipikul, untuk diri sendiri, keluarga, agama dan negara. Di mana bumi dipijak, di situ langit dijunjung. Yang terbaik menang, dan yang leka akan tinggal ke belakang. Itulah adat perjuangan. Kekayaan yang dimiliki, anggota tubuh badan yang dinikmati mesti digunakan sebaik mungkin, termasuk usia yang diberi.

Semuanya akan ditanya oleh Allah, untuk apa, bagaimana dan kenapa ia digunakan. Mereka yang terpesona dengan keindahan dunia akan hanyut di bawah tekanan dan kekangan nafsu. Kerana itu, selagi nyawa ada di badan, perjuangan mesti diteruskan.
Orang yang beriman, menggunakan segala amanah yang diberi oleh Allah sebaik mungkin, sentiasa bersedia menghadapi mati, lantaran mati itu boleh berlaku pada bila-bila masa menurut ketentuan Allah.

Sebelum mati, ia akan didatangi oleh malaikat maut yang membawa salam daripada Allah, petanda kasih Allah, menjemput kekasih-Nya kembali menemui-Nya. Sebelum roh berpisah dengan jasad, Allah perlihatkan syurga baginya.

Syurga adalah kemuncak segala nikmat yang tidak dapat diluahkan melalui ungkapan kata. Bagi mereka yang berjuang untuk hidup di dunia, untuk diri, agama, negara, keluarga dan kerana Allah, apabila diperlihatkan kepadanya syurga, hamba berkenaan akan merasai betapa nikmatnya hidup di syurga, berbanding dengan hidup di dunia yang penuh dengan pelbagai perjuangan, hiruk-pikuk penipuan dan pesona.

Orang yang berada dalam pesona syurga, ketika dalam keadaan sakaratul maut tidak dapat menahan diri untuk menikmati syurga yang diperlihatkan kepadanya.
Walaupun demikian, hamba berkenaan tidak akan dapat menikmati kehidupan di syurga, kecuali setelah mati terlebih dahulu. Kerana itulah hamba berkenaan terlalu inginkan mati, untuk segera menikmati syurga.

Mati bererti menemui Allah, kerana itu, apabila seorang hamba yang beriman itu reda untuk mati, bererti dia reda untuk bertemu Allah. Dalam keadaan sedemikian rupa, apabila seseorang itu reda untuk bertemu Allah, maka Allah lagi suka menemui hamba berkenaan.
Hibaan bin al-Aswad pernah berkata, ``mati itu lebih baik bagi menyampaikan seorang yang kasih, kepada kekasihnya, iaitu Allah''

Sesungguhnya, apabila seseorang itu telah meninggal dunia, hakikatnya dia telah meninggalkan kehidupan yang fana, yang tidak kekal ini. Apabila dimasukkan dalam kubur, dia berada di alam arwah atau alam roh-roh. Kehidupan di alam kubur adalah sebahagian daripada alam akhirat. Di antara alam fana dan alam akhirat ada pendinding yang tidak boleh tembus-menembusi di antara satu dengan yang lain.

Bagi orang yang beriman, selain dipermudahkan ketika sakaratul maut, diberi penghormatan seperti yang dijelaskan dalam hadis-hadis yang diterangkan di atas, ia juga diberi nikmat ketika di kubur. Kerana itu, persoalan sama ada roh suami puan sekarang dalam keadaan gembira atau terlalu kesunyian merindukan puan tidak timbul sama sekali.
Perbandingan seorang mukmin ketika hidup di dunia, adalah seperti janin dalam kandungan ibunya. Apabila dia telah keluar daripada kandungan, dia menangis di tempat keluarnya, sehingga dia melihat sinar dan menyusu, ketika itu dia tidak ingin lagi untuk pulang ke dalam rahim.

Begitulah keadaan orang yang beriman yang telah mati dan menemui Tuhannya, tidak lagi dia ingin untuk kembali ke dunia, tidak ubah seumpama janin yang tidak ingin ke dalam rahim ibunya.

Gambaran nikmat yang dijelaskan ini adalah bagi mereka yang beriman. Ketika hampir mati dan melihat apa yang telah disediakan oleh Allah untuk dirinya, mereka begitu ingin untuk keluar dari dunia, iaitu mati. Bagi orang kafir, apabila hampir mati dan melihat apa yang disediakan oleh Allah, akan menjadi benci untuk keluar dari dunia, kerana itu Allah juga benci menemuinya.

Ibn Juraij memberitahu bahawa Nabi pernah bersabda kepada Aishah radialahuanha: Apabila seorang mukmin itu melihat para malaikat, mereka akan bertanya: Inginkah engkau kiranya kami kembalikan engkau ke dunia. Orang yang beriman itu bertanya: Ke negeri sedih dan dukacita. Kerana itu segeralah bawa kami kembali kepada Allah subhanahu wa taala.
Mati bukan penghujung kehidupan seseorang yang sebenar, kerana selain daripada hidup di dunia, manusia akan dibangkitkan di akhirat yang kekal lagi abadi. Allah menjanjikan kebahagiaan mereka yang beriman kepada-Nya di dunia dan di akhirat, termasuk ketika menghadapi saat genting sakaratul maut.


p/s: "duhai teman...setiap yang hidup pasti akan menemui mati..justeru itu, sediakan lah jambatan penghubung agar mudah tiba ke destinasi yang dituju dengan bahagia iaitu di akhirat sana..."

Ahad, 15 Februari 2009

Tiada Pengganti Allah Bagimu...


" Pabila kudengar sautan azan sebuana,
Kumerindui Dia di atas sana,
tetapi bila kudengar suara manusia,
Hampir saja ku kehilangan sedar jiwa! "

Seorang lpemuda memasuki sebuah masjid bukan pada waktu solat dan telah menjumpai seorang anak kecil berusia 10 tahun sedang melaksanakan solat dengan khusyu', lalu dia mendekati si kecil itu setelah selesai menadah tangan meminta kasih Illahi, lantas pemuda itu pun bertanya: " Kamu ini anak siapa?" tanpa mengeluarkan suara, si kecil itu terus menggelengkan kepalanya dan menitiskan air mata, seraya berkata:"wahai pakcik, saya ini seorang yatim piatu".Pemuda itu amat tersentuh hatinya mendengarkan kata si kecil tadi lantas mengutarakan hasratnya "Mahukah kamu menjadi anak angkatku?" si kecil itu kemudiannya bertanya: "Adakah pakcik akan memberiku makan apabila saya lapar?" Pemuda itu menjawab:
"Ya!", lalu si kecil itu bertanya lagi: "Adakah saya akan di beri pakaian oleh mu sekiranya saya tidak mempunyai pakaian?". Sekali lagi pemuda itu mengangguk dan berkata "Ya!" Si kecil itu terus bertanya: "Sekiranya saya sakit adakah pakcik akan menyembuhkan saya daripada penyakit?" sayugianya, pemuda itu pun menjawab: "Wahai anakku, aku tidak dapat melakukan itu". Namun anak kecil itu terus bertanya lagi: "Adaka pakcik akan menghidupkan saya lagi apabila saya mati nanti?" sekali lagi pemuda itu menggeleng kepala: "Aku juga tidak mampu melakukan itu".
Akhirnya si kecil itu berkata: "Kalau demikian, wahai pakcik, serahkanlah diriku kepada:

الذي خلقني فهو يهدين# والذي هو يطعمني ويسقين # واذا مرضت فهو يشفين # والذي يميتني ثم يحيين #والذي اطمع ان يغفرلى خطيئتى يوم الدين
" tuhan yang telah menciptakan aku, maka Dialah yang menunjukkan ,hidayah kepadaku, dan Tuhanku, yang Dia memberi makan dan minum kepadaku, dan apabila aku sakit, Dialah yang menyembukan aku, dan yang mematikan aku, kemudian akan menghidupkan aku (kembali), dan yang amat kuinginkan akan mengampuni kesalahanku pada hari Qiamat"-(Asy-syu'ara': Ayat 78-82)

Pemuda itu pun diam dan pergi meneruskan urusannya, sedang anak kecil itu berkata: " Aku beriman kepada Allah. Barangsiapa yang bertawakkal kepada Allah, nescaya Dia akan mamperi kecukupan kepadanya"

p/s: duhai teman...ketahuilah dikau bahawa kasih dan belas Yang Esa itu, tidak ternilai taranya, melampaui segala kemewahan dunia, sesungguhnya Dia Maha Karya Cinta!