
Assalamualaikum wbt.
moga semuanya berada di dalam keadaan yang baik serta teguh imannya,
bila berbicara tentang iman, sesungguhnya kita mengetahui bahawa iman manusia itu adakalanya bertambah dan adakalanya berkurangan.Semoga kita sama-sama memperteguhkan iman yang ada di dada dengan mengingati dan mensyukuri segalan ciptaan-Nya.
Sebelum rancak mengukir kata berkisarkan bualbincang hari ini, mari bersama kita mengkaji apa ada pada seekor semut yang kecil? untuk ketahui lebih lanjut klik di sini. Apakah pula perkaitannya dengan tajuk penulisan saya pada hari ini? hmmm.. nak tahu... teruskan membaca.
Kisahnya bermula di zaman Nabi Allah Sulaiman berlaku satu peristiwa, apabila Nabi Allah Sulaiman nampak seekor semut melata di atas batu; lantas Nabi Allah Sulaiman merasa hairan bagaimana semut ini hendak hidup di atas batu yang kering di tengah-tengah padang pasir yang tandus. Nabi Allah Sulaiman pun bertanya kepada semut:
" Wahai semut apakah engkau yakin ada makanan cukup untuk kamu".
Semut pun menjawab: "Rezeki di tangan ALLAH, aku percaya rezeki di tangan ALLAH, aku yakin di atas batu kering di pasir yang tandus ini ada rezeki untuk ku".
Nabi Allah Sulaiman bertanya lagi: " Wahai semut, berapa banyakkah engkau makan? Apakah yang engkau gemar makan? Dan banyak mana engkau makan dalam sebulan?"
Jawab semut: "Aku makan hanya sekadar sebiji gandum sebulan".
Nabi Allah Sulaiman pun megutarakan cadangan: "Kalau kamu makan hanya sebiji gandum sebulan tak payah kamu melata di atas batu, aku boleh tolong". Nabi Allah Sulaiman pun mengambil satu bekas, dia angkat semut itu dan dimasukkan ke dalam bekas; kemudian Nabi ambil gandum sebiji, dibubuh dalam bekas dan tutup bekas itu. Kemudian Nabi tinggal semut didalam bekas dengan sebiji gandum selama satu bulan. Bila cukup satu bulan Nabi Allah Sulaiman lihat gandum sebiji tadi hanya dimakan setengah sahaja oleh semut.
Lantas Nabi Allah Sulaiman menemplak semut tersebut: "Kamu berbohong pada aku!. Bulan lalu kamu kata kamu makan sebiji gandum sebulan, ini sudah sebulan tapi kamu makan setengah".
Jawab semut: "Aku tidak berbohong, aku tidak berbohong, kalau aku ada di atas batu aku pasti makan apapun sehingga banyaknya sama seperti sebiji gandum sebulan, kerana makanan itu aku cari sendiri dan rezeki itu datangnya daripada Allah dan Allah tidak pernah lupa padaku. Tetapi bila kamu masukkan aku dalam bekas yang tertutup, rezeki aku bergantung pada kamu dan aku tak percaya kepada kamu, sebab itulah aku makan setengah sahaja supaya tahan dua bulan. Aku takut kamu lupa".
Itulah Iman Seekor Semut!
p/s: "Duhai teman, saudara dan pejuang... sesungguhnya semut sekecil2 ciptaan itu sahaja mampu memperteguhkan imannya dan mengangkat keagungan Penciptanya, mengapa kita yang sebaik-baik ciptaan-Nya ini tidak mampu sedemikian? fikir-fikirkan... salam memperteguhkan iman buat semua..."
Selasa, 2 Mac 2010
Iman Seekor Semut
Posted by tiara-qurratu'aini at 2:33 PG 6 comments
Labels: Insan Terpilih (Rasulullah)
Ahad, 19 April 2009
Sambungan, Khalifah Agung Umar Abdul Aziz
Biodata Ringkas
Nama : Abu Jaafar Umar bin Abdul Aziz bin Marwan bin Hakam
Nama Ibu : Laila binti 'Asim bin Umar bin Al-Khatab
T/Lahir : 61H
Umur : 39 tahun
Tarikh M/Dunia : 101H
Jawatan : Khalifah Ke 6 Bani Umaiyyah
Tarikh Lantikan : Safar 99H @ 717M
Lama Berkhidmat : sekitar 2 tahun 5 bulan
Pendidikan
Beliau telah menghafaz al-Quran sejak masih kecil lagi. Merantau ke Madinah untuk menimba ilmu pengetahuan. Beliau telah berguru dengan beberapa tokoh terkemuka spt Imam Malik b. Anas, Urwah b. Zubair, Abdullah b. Jaafar, Yusuf b. Abdullah dan sebagainya. Kemudian beliau melanjutkan pelajaran dengan beberapa tokoh terkenal di Mesir.
Beliau telah dipanggil balik ke Damsyik oleh Khalifah Abdul Malik b. Marwan apabila bapanya meninggal dunia dan dikahwinkan dengan puteri Khalifah, Fatimah bte Abdul Malik (sepupunya)
Sifat-Sifat Peribadi
Beliau mempunyai keperibadian yang tinggi, disukai ramai dan warak yang diwarisi dari datuknya Saidina Umar b Al-Khatab. Baginda amat berhati-hati dengan harta terutamanya yang melibatkan harta rakyat. Sesungguhnya kisah Khalifah Umar bin Abdul Aziz yang menyediakan dua lilin di rumahnya, satu untuk kegunaan urusan negara dan satu lagi untuk kegunaan keluarga sendiri tentunya telah diketahui umum dan tidak perlu diulang-ulang.
Sebagai seorang yang zuhud, kehidupannya semasa menjadi Gabenor Madinah dan Khalifah adalah sama seperti kehdupannya semasa menjadi rakyat biasa. Harta yang ada termasuk barang perhiasan isterinya diserahkan kepada Baitulmal dan segala perbelanjaan negara berdasarkan konsep jimat-cermat dan berhati-hati atas alasan ia adalah harta rakyat. Ini terbukti apabila beliau dengan tegasnya menegur dan memecat pegawai yang boros dan segala bentuk jamuan negara tidak dibenarkan menggunakan harta kerajaan.
Pada suatu hari beliau berkhutbah yang mana antara isinya adalah spt berikut ;
"Setiap orang yang musafir mesti memperlengkapi bekalannya. Siapkanlah taqwa dalam perjalanan kamu dari dunia menuju akhirat. Pastikan dirimu sama ada mendapat pahala atau siksa, senang atau susah."
"Jangan biarkan masa berlalu sehingga hatimu menjadi keras dan musuh sempat mengoda. Sebaik-baiknya saudara menganggap bahawa hidup pada petang hari tidak akan sampai ke pagi hari dan hidup pada pagi hari tidak akan sampai ke petang hari. Memang tidak jarang terjadi kematian ditengah-tengahnya"
"Saudara-saudara dapat menyaksikan sendiri bahawa ramai orang yang tertipu dengan dunia, padahal orang yang layak bergembira tidak lain kecuali orang yang selamat daripada siksaan Allah SWT dan orang yang lepas dari tragedi hari qiamat."
"Sementara orang yang tidak mahu mengubati yang sudah luka, kemudian datang lagi penyakit lain, bagaimana mungkin mahu bergembira ? Saya berlindung kepada Allah SWT daripada perbuatan yang tidak aku pegangi dan amalkan sendiri. Seandainya begitu, alangkah rugi dan tercelanya aku. Dan jelaslah tempatku nanti pada hari yang jelas kelihatan siapa yang kaya dan siapa yang miskin".
"Di sana nanti akan diadakan timbangan amal serta manusia akan diserahi tanggungjawab yang berat. Seandainya tugas itu dipikul oleh binatang-binatang nescaya ia akan hancur, jika dipikul oleh gunung nescaya ia akan runtuh, kalau dipikul oleh bumi nescaya bumi akan retak. Saudara-saudara belum tahu bahawa tiada tempat di antara Syurga dan Neraka ? Kamu akan memasuki salah satu daripadanya."
"Ada seorang lelaki yang mengirim surat kepada rakannya yang isinya : "Sesungguhnya dunia ini adalah tempat bermimpi dan akhirat barulah terjaga" Jarak pemisah antara keduanya adalah mati. Jadi, kita sekarang sedang bermimpi yang panjang"
Terdapat banyak riwayat dan athar para sahabat yang menceritakan tentang keluruhan budinya. Di antaranya ialah :
1) At-Tirmizi meriwayatkan bahawa Umar Al-Khatab telah berkata : "Dari anakku (zuriatku) akan lahir seorang lelaki yang menyerupainya dari segi keberaniannya dan akan memenuhkan dunia dengan keadilan"
2) Dari Zaid bin Aslam bahawa Anas bin Malik telah berkata : "Aku tidak pernah menjadi makmum di belakang imam selepas wafatnya Rasulullah SAW yang mana solat imam tersebut menyamai solat Rasulullah SAW melainkan daripada Umar bin Abdul Aziz dan beliau pada masa itu adalah Gabenor Madinah"
3) Al-Walid bin Muslim menceritakan bahawa seorang lelaki dari Khurasan telah berkata : "Aku telah beberapa kali mendengar suara datang dalam mimpiku yang berbunyi : "Jika seorang yang berani dari Bani Marwan dilantik menjadi Khalifah, maka berilah baiah kepadanya kerana dia adalah pemimpin yang adil"." Lalu aku menanti-nanti sehinggalah Umar b. Abdul Aziz menjadi Khalifah, akupun mendapatkannya dan memberi baiah kepadanya".
4) Qais bin Jabir berkata : "Perbandingan Umar b Abdul Aziz di sisi Bani Ummaiyyah seperti orang yang beriman di kalangan keluarga Firaun"
5) Hassan al-Qishab telah berkata :"Aku melihat serigala diternak bersama dengan sekumpulan kambing di zaman Khalifah Umar Ibnu Aziz"
6) Umar b Asid telah berkata :"Demi Allah, Umar Ibnu Aziz tidak meninggal dunia sehingga datang seorang lelaki dengan harta yang bertimbun dan lelaki tersebut berkata kepada orang ramai :"Ambillah hartaku ini sebanyak mana yang kamu mahu". Tetapi tiada yang mahu menerimanya (kerana semua sudah kaya) dan sesungguhnya Umar telah menjadikan rakyatnya kaya-raya"
7) 'Atha' telah berkata : "Umar Abdul Aziz mengumpulkan para fuqaha' setiap malam. Mereka saling ingat memperingati di antara satu sama lain tentang mati dan hari qiamat, kemudian mereka sama-sama menangis kerana takut kepada azab Allah seolah-olah ada jenayah di antara mereka."
Umar Ibnu Aziz Sebagai Khalifah
Beliau dilantik menjadi Khalifah stelah kematian sepupunya, Khalifah Sulaiman atas wasiat khalifah tersebut. Setelah mengambilalih tampuk pemerintahan, beliau telah mengubah beberapa perkara yang lebih mirip kepada sistem fuedal. Di antara perubahan awal yang dilakukannya ialah :
1) menghapuskan cacian terhadap Saidina Ali b Abu Thalib dan keluarganya yang disebut dalam khutbah-khutbah Jumaat dan digantikan dengan beberapa potongan ayat suci al-Quran
2) merampas kembali harta-harta yang disalahgunakan oleh keluarga Khalifah dan mengembalikannya ke Baitulmal
3) memecat pegawai-pegawai yang tidak cekap, menyalahgunakan kuasa dan pegawai yang tidak layak yang dilantik atas pengaruh keluarga Khalifah
4) menghapuskan pegawai peribadi bagi Khalifah sebagaimana yang diamalkan oleh Khalifah terdahulu. Ini membolehkan beliau bebas bergaul dengan rakyat jelata tanpa sekatan tidak seperti khalifah dahulu yang mempunyai pengawal peribadi dan askar-askar yang mengawal istana yang menyebabkan rakyat sukar berjumpa.
Selain daripada itu, beliau amat mengambilberat tentang kebajikan rakyat miskin di mana beliau juga telah menaikkan gaji buruh sehingga ada yang menyamai gaji pegawai kerajaan.
Beliau juga amat menitikberatkan penghayatan agama di kalangan rakyatnya yang telah lalai dengan kemewahan dunia. Khalifah umar telah memerintahkan umatnya mendirikan solat secara berjammah dan masjid-masjid dijadikan tempat untuk mempelajari hukum Allah sebegaimana yang berlaku di zaman Rasulullah SAW dan para Khulafa' Ar-Rasyidin. Baginda turut mengarahkan Muhammad b Abu Bakar Al-Hazni di Mekah agar mengumpul dan menyusun hadith-hadith Raulullah SAW.
Dalam bidang ilmu pula, beliau telah mengarahkan cendikawan Islam supaya menterjemahkan buku-buku kedoktoran dan pelbagai bidang ilmu dari bahasa Greek, Latin dan Siryani ke dalam bahasa Arab supaya senang dipelajari oleh umat Islam.
Dalam mengukuhkan lagi dakwah Islamiyah, beliau telah menghantar 10 orang pakar hukum Islam ke Afrika Utara serta menghantar beberapa orang pendakwah kepada raja-raja India, Turki dan Barbar di Afrika Utara untuk mengajak mereka kepada Islam. Di samping itu juga beliau telah menghapuskan bayaran Jizyah yang dikenakan ke atas orang yang bukan Islam dengan harapan ramai yang akan memeluk Islam.
Khalifah Umar b Abdul Aziz yang terkenal dengan keadilannya telah menjadikan keadilan sebagai keutamaan pemerintahannya. Beliau mahu semua rakyat dilayan sama adil tidak mengira keturunan dan pangkat supaya keadilan dapat berjalan dengan sempurna. Keadilan yang beliau perjuangan adalah menyamai keadilan di zaman datuknya, Khalifah Umar Al-Khatab ! yang sememangnya dinanti-nantikan oleh rakyat yang selalu ditindas oleh pembesar yang angkuh dan zalim sebelumnya.....
Beliau akhirnya menghembuskan nafasnya yang terakhir setelah memerintah selama 2 tahun 5 bulan
2 tahun 5 bulan satu tempoh yang terlalu pendek bagi sebuah pemerintahan.
Tetapi Khalifah Umar b Abdul Aziz telah membuktikan sebaliknya. Dalam tempoh tersebut, kerajaan Umaiyyah semakin kuat tiada pemberontakan dalaman, kurang berlaku penyelewengan, rakyat mendapat layanan yang sewajarnya dan menjadi kaya-raya hinggakan Baitulmal penuh dengan harta zakat kerana tiada lagi orang yang mahu menerima zakat...kebanyakannya sudah kaya ataupun sekurang-kurangnya boleh berdikari sendiri..
Semua ini adalah jasa Khalifah Umar b Abdul Aziz yang sangat masyhur, adil dan warak yang wajar menjadi contoh kepada pemerintahan zaman moden ini....hanya 852 hari dapat mengubah sistem pemerintahan ke arah pemerintahan yang diredahi Allah dan menjadi contoh sepanjang zaman..satu rekod yang sukar diikuti oleh orang lain melainkan ornag yang benar-benar ikhlas!
Posted by tiara-qurratu'aini at 7:57 PG 6 comments
Labels: Insan Terpilih (Rasulullah)
Dia Umar !
Sekian lama aku tidak menulis bagi ruangan "Rasulullah dan Sekitarnya" hari ini di sebabkan permintaan adikku Shaliza yang nak tahu tentang Umar Bin Abdul Aziz , aku pun merajinkan jari untuk menaip tambahan pula bahan-bahan pengisian tentang ini telah lama berapa dalam arkib laptop ku ini, cuma masa sahaja yang agak kurang memberi kesempatan..hihi...betulkah ini atau alasan diriku semata? erm...
apa pun aku harap semua beroleh info tambahan mahupun info baru mengenai Khalifah ini. Selamat mengembara ke zaman kegemilangan Pemerintah Islam.
Umar bin Abdul-Aziz (bergelar Umar II, lahir di Halwan, Mesir 63 H / 682, wafat Februari 720)[1] (Arab: عمر بن عبد العزيز) adalah khalifah Bani Umayyah yang berkuasa dari tahun 717 sampai 720. Tidak seperti khalifah Bani Umayyah sebelumnya, ia bukan merupakan keturunan dari khalifah sebelumnya, tetapi ditunjuk langsung, dimana ia merupakan sepupu dari khalifah sebelumnya, Sulaiman. Muhammad bin Ali bin Husain mengatakan tentang dirinya, “Kalian tahu bahwa setiap kaum memiliki orang yang yang menonjol? Yang menonjol dari Bani Umaiyah adalah Umar bin Abdul Aziz. Saat dibangkitkan di hari kiamat kelak, merupakan satu kelompok tersendiri.”
Biografi
Umar dilahirkan pada tahun 682. Ada dua pendapat mengenaai tempat kelahirannya iaitu pendapat pertama dia dilahirkan di Madinah manakala pendapat kedua mengatakan dia dilahirkan di Mesir. Bapanya ialah Abd al-Aziz, Gabenor Mesir dan adik kepada Khalifah Abdul Malik bin Marwan. Umar ialah cicit kepada Khalifah kedua Khulafa al-Rasyidin iaitu Saidina Umar Al-Khatab.
Menjadi Gabenor Madinah
Umar dibesarkan di Madinah dan tinggal di sana sehinggalah kematian ayahnya. Selepas itu dia dipanggil oleh Khalifah Abdul Malik ke Damsyik untuk mengahwini anak Khalifah Abdul Malik, Fatimah. Khalifah Abdul Malik meninggal dunia tidak lama kemudian dan digantikan dengan anaknya Al-Walid I yang kemudian melantik Umar sebagai Gabenor Madinah. Tidak seperti gabenor terdahulu, Umar menubuhkan sebuah majlis untuk membantunya menguruskan Madinah. Ramai orang berhijrah dari Iraq ke Madinah mencari perlindungan daripada kekejaman gabenor Iraq iaitu Hajjaj ibn Yusuf. Hal ini mendatangkan kemarahan Gabenor Iraq yang kemudiannya mendesak Khalifah Al-Walid supaya memecat Umar. Walaupun mendapat bantahan penduduk Madinah, Khalifah Al-Walid terpaksa tunduk kepada tuntutan Hajjaj.
Menjadi Khalifah
Umar terus tinggal di Madinah sepanjang pemerintahan Khalifah Al-Walid dan Khalifah Sulaiman. Khalifah Sulaiman yang juga merupakan sepupu Umar amat mengaguminya dan melantik Umar sebagai penggantinya walaupun ditentang oleh saudara terdekatnya. Umar dengan berat hati menerima jawatan ini walaupun mencuba beberapa kali untuk mengubah keputusan Khalifah Sulaiman. Umar tidak mementingkan kekayaan dan kemegahan dan memilih untuk hidup dalam kesederhanaan.
Walaupun mendapat sokongan yang tidak berbelah bahagi rakyat, beliau menggalakkan rakyat supaya memilih khalifah yang baru sekiranya mereka tidak berpuas hati dengan pemerintahannya. Beliau membahagikan tanah jajahan Ummayyah kepada rakyat dan amat jarang menerima hadiah kerana takut dirasuah. Beliau juga mendesak kaum keluarganya supaya mendermakan barang kemas kepada perbendaharaan awam.
Perubahan Pentadbiran
Umar juga melakukan beberapa perubahan keagamaan. Dia menghapuskan amalan menyumpah Saidina Ali Abi Talib semasa khutbah Jumaat. Khalifah Umar juga menguatkuasakan undang-undang Syariah dan menghapuskan amalan pembayaran cukai Jizyah terhadap saudara baru Islam walaupun mereka telah memeluk Islam.
Walaupun beliau tidak berminat untuk mengembangkan empayar Ummaiyyah, beliau berjaya menumpaskan beberapa pemberontakan dan penentangan.
Kewafatan
Perubahan yang dilakukannya menimbulkan kemarahan golongan bangsawan Ummaiyyah yang kemudiannya merasuah seorang hamba untuk meracuni makanannya. Umar mengetahui mengenai perkara ini dan memaafkan pesalah ini. Beliau wafat pada tahun 720 di Aleppo. Beliau digantikan oleh sepupunya Yazid II.
Pengiktirafan
Hadis Nabi S.A.W
"Allah akan mengirimkan seorang mujaddid (orang yang memperbaharui urusan agamanya) setiap seratus tahun"
Ijtima' ulama bersepakat mengatakan bahawa untuk kurun pertama Hijrah, Umar ibn Abd Aziz merupakan mujaddid pada kurun tersebut.
Hadis Nabi S.A.W yang diriwayatkan oleh Adi ibn Hatim sebelum beliau menjadi Muslim
"Adi ibn Hatim. Barangkali yang menghalangi engkau memasuki Islam adalah dengan kemelaratan kaum muslimin. Akan tiba masanya nanti di suatu zaman di mana seluruh umat Islam tidak layak menerima zakat lantaran kekayaan yang telah mereka miliki"
Berkata Adi ibn Hatim setelah dia menjadi seorang Muslim
"Aku telah melihat dua perkara yang dinyatakan oleh Nabi dan aku bersumpah perkara ketiga mengenai kekayaan umat Islam pasti berlaku"
Yahya ibn Said (salah seorang gabenor ketika pemerintahan Umar ibn Abd Aziz) menceritakan pengalamannya
"Umar ibn Abd Aziz telah mengutus aku ke Afrika Utara untuk membahagi zakat. Lalu kucari fakir miskin di sana tetapi tiada seorang pun yang layak digelar fakir miskin. Khalifah Umar benar-benar telah menjadikan rakyatnya kaya"
Pemimpin Bani Abbasiyyah mengatakan
"Kami dapat menandingi kerajaan Bani Ummaiyyah dalam semua hal kecuali 4 perkara. Salah satunya ialah tiada orang seperti Umar ibn Abd Aziz dari kalangan kami buat selama-lamanya"
**Cebisan kata-kata menarik
Pemerintah selalunya melantik pegawai untuk mengawasi rakyatnya. Aku melantik kamu untuk mengawasi diriku dan kelakuanku. Jika kamu mendapati aku melakukan kesalahan, bimbinglah aku atau halanglah aku daripada melakukannya.
- Umar ibni Abd al-Aziz.
Posted by tiara-qurratu'aini at 7:39 PG 0 comments
Labels: Insan Terpilih (Rasulullah)
Ahad, 8 Mac 2009
Khutbah Terakhir
Khutbah ini disampaikan pada 9hb. Zulhijjah Tahun 10 Hijriyah
di Lembah Uranah, Gunung Arafah.
Baca dan fahamilah kata-kata terakhir baginda ini, nasihatnya adalah panduan, sunnahnya adalah bekalan agar manusia itu terus lurus di atas landasan , moga tak terpesong dengan angkara tipu daya iblis dan syaiton.
Bersama kita hayati nasihat dan pesanan baginda yang terakhir.
Wahai manusia, dengarlah baik-baik apa yang hendak kukatakan,
Aku tidak mengetahui apakah aku dapat bertemu lagi dengan
kamu semua selepas tahun ini. Oleh itu dengarlah dengan teliti
kata-kataku ini dan sampaikanlah ia kepada orang-orang yang
tidak dapat hadir di sini pada hari ini.
Wahai manusia, sepertimana kamu menganggap bulan ini dan kota
ini sebagai suci, maka anggaplah jiwa dan harta setiap orang
Muslim sebagai amanah suci. Kembalikan harta yang diamanahkan
kepada kamu kepada pemiliknya yang berhak. Janganlah kamu sakiti
sesiapapun agar orang lain tidak menyakiti kamu lagi. Ingatlah
bahawa sesungguhnya kamu akan menemui Tuhan kamu dan Dia pasti
membuat perhitungan di atas segala amalan kamu. Allah telah
mengharamkan riba, oleh itu segala urusan yang melibatkan riba
dibatalkan mulai sekarang.
Berwaspadalah terhadap syaitan demi keselamatan agama kamu.
Dia telah berputus asa untuk menyesatkan kamu dalam
perkara-perkara besar, maka berjaga-jagalah supaya kamu tidak
mengikutinya dalam perkara-perkara kecil. Wahai manusia
sebagaimana kamu mempunyai hak atas isteri kamu mereka
juga mempunyai hak di atas kamu. Sekiranya mereka menyempurnakan
hak mereka ke atas kamu maka mereka juga berhak untuk diberi makan
dan pakaian dalam suasana kasih sayang.
Layanilah wanita-wanita kamu dengan baik dan berlemah-lembutlah
terhadap mereka kerana sesungguhnya mereka adalah teman dan
pembantu kamu yang setia. Dan hak kamu atas mereka ialah
mereka sama sekali tidak boleh memasukkan orang yang kamu
tidak sukai ke dalam rumah kamu dan dilarang melakukan zina.
Wahai manusia, dengarlah bersunggah-sungguh kata-kataku ini,
sembahlah Allah, dirikanlah sembahyang lima kali sehari,
berpuasalah di bulan Ramadhan, dan tunaikanlah zakat dari
harta kekayaan kamu. Kerjakanlah 'Ibadah Haji' sekiranya
kamu mampu. Ketahuilah bahawa setiap Muslim adalah saudara
kepada Muslim yang lain. Kamu semua adalah sama, tidak seorang
pun yang lebih mulia dari yang lainnya kecuali dalam Taqwa dan
beramal soleh.
Ingatlah, bahawa kamu akan menghadap Allah pada suatu hari untuk
dipertanggungjawabkan di atas segala apa yang telah kamu kerjakan.
Oleh itu awasilah agar jangan sekali-kali kamu terkeluar dari
landasan kebenaran selepas ketiadaanku. Wahai manusia, tidak ada
lagi Nabi atau Rasul yang akan datang selepasku dan tidak akan
lahir agama baru.
Oleh itu wahai manusia, nilailah dengan betul dan fahamilah
kata-kataku yang telah aku sampaikan kepada kamu. Sesungguhnya
aku tinggalkan kepada kamu dua perkara, yang sekiranya kamu
berpegang teguh dan mengikuti kedua-duanya, nescaya kamu tidak
akan tersesat selama-lamanya. Itulah AI-Quran dan Sunnahku.
Hendaklah orang-orang yang mendengar ucapanku, menyampaikan
pula kepada orang lain. Semoga yang terakhir lebih memahami
kata-kataku dari mereka yang terus mendengar dariku. Saksikanlah
Ya Allah, bahawasanya telah aku sampaikan risalah-Mu kepada hamba-hamba-Mu...
P/S: "Duhai Teman, ayuh kita berselawat salam untuk junjungan mulia ini, jasanya membolehkan kita mengenal erti Islam yang sebenar"
Posted by tiara-qurratu'aini at 5:36 PTG 1 comments
Labels: Insan Terpilih (Rasulullah)
Pemimpin Yang Merendah Diri
Pada suatu hari Rasulullah bersama sahabat-sahabat melakukan
perjalanan yang jauh. Mereka singgah mendirikan khemah di
padang pasir. Seorang sahabat membawa seekor kambing dan
berkata dia akan menyembelihnya.Yang lain pula berkata
akan melapahnya. Sahabat yang lain berkata akan memasaknya.
Lalu Rasulullah berkata, "Dan aku akan mencari kayu api."
Para sahabat terperanjat mendengarnya dan segera berkata,
"Tidak usah ya Rasulullah, biar kami sahaja melakukan semuanya."
Rasulullah bersabda, "Demi Allah aku tidak akan tinggal
diam sementara kamu semua bekerja. Allah membenci hambanya
yang mengistimewakan dirinya dari saudara-saudaranya.
" Setelah itu Rasulullah pergi mencari kayu api.
P/s: "Duhai Teman... Dalam Islam tidak ada keistimewaan yang membezakan
manusia. Pemimpin dan orang yang dipimpin adalah sama sahaja
kecuali pada arahan dan kuasanya. Pemimpin tidak sepatutnya
menggunakan kedudukannya sebagai pemimpin untuk membina keistimewaan
diri, apalagi membina kekayaan menerusi kesempatan yang ada."
Posted by tiara-qurratu'aini at 5:25 PTG 1 comments
Labels: Insan Terpilih (Rasulullah)
Cintailah Muhammad
Dalam kitab Shahih Bukhari, terdapat hadis yang mengetengahkan kepentingan mencintai Rasulullah yang berbunyi: “Tidak sempurna iman di kalangan kamu hingga aku lebih dicintainya daripada ibu bapanya, anaknya dan manusia keseluruhannya.”
Hadis itu membawa maksud setiap mukmin berkewajipan meletakkan kecintaan dan kasih pada Rasulullah mengatasi segala-galanya. Mengikut iktiqad ahli sunnah wal jamaah, Nabi Muhammad adalah insan yang paling afdhal di sisi Allah.
Baginda adalah insan pilihan Allah s.w.t untuk menyampaikan risalah Islam buat umat sejagat. Demi menyelamatkan akidah umat, baginda sanggup berdepan dengan pelbagai cabaran yang menuntut seribu satu pengorbanan.
Allah menceritakan peranan Rasulullah dalam satu ayat bahagian yang terakhir daripada surah at-Taubah: “Sesungguhnya sudah datang kepada kamu seorang rasul daripada kalangan kamu, berat terasa olehnya penderitaanmu, sangat menginginkan keimanan dan kebahagiaan bagimu, amat belas kasihan lagi penyayang terhadap orang beriman.”
Nabi Muhammad adalah insan pilihan Allah. Baginda dicipta dengan seindah-indah ciptaan. Baginda dihiasi rupa paras yang menawan, akhlak yang terbaik dan sebagai manusia yang memiliki pelbagai kehebatan.
Sahabat Rasulullah amat mengenali peribadi baginda hingga ke akar umbi. Pergaulan mereka dengan Rasulullah menghasilkan satu momentum besar dalam diri dan melakarkan kenangan yang kekal abadi di dalam sanubari mereka.
Sahabat mengambil inisiatif untuk memuliakan baginda dan mencontohi sunnah yang dibawanya.
Kata-kata sahabat adalah ungkapan yang paling tepat untuk dijadikan rujukan dalam hal bagaimana bentuk penampilan, budi pekerti, gaya kepimpinan dan sebagainya mengenai Rasulullah. Berikut sebahagian informasi yang diberikan sahabat berkaitan kemuliaan Rasulullah:
# Berkata Aisyah, isteri Rasulullah tercinta: “Adalah akhlak Rasulullah (gambaran) al-Quran.”
# Berkata Anas b Malik : “Tidak ada seorang pun yang bercakap-cakap dengan Rasulullah kecuali orang itu terlebih dahulu beredar sebelum Rasulullah beredar (tatkala selesai berbual kerana baginda ingin menyenangkan hati orang itu). “Tiada seorang pun yang berjabat tangan dengan Rasulullah melainkan orang itu yang terlebih dahulu melepaskan tangannya (daripada tangan baginda yang mulia ).”Rasulullah adalah orang yang pertama memulakan salam kepada mereka yang dijumpainya dan orang pertama mendahului menghulurkan tangan untuk berjabat tangan dengan mereka.Pernah baginda menghamparkan pakaian miliknya dan menghulurkan bantal (alas duduk) kepada tetamu (sebagai adab meraikan tetamu).
# Anas memuji lagi baginda dalam hadis yang lain: “Aku tidak pernah mencium sesuatu haruman yang lebih wangi sama ada anbar atau wangian kasturi atau sumber yang lain yang terlebih harum daripada wangian badan Rasulullah.
# Berkata Al-Baraa’: “Adalah Rasulullah orang yang paling menawan wajahnya dan baik akhlaknya.”
# Jabir b Abdullah meriwayatkan bahawa suatu ketika ketika bulan terang benderang: “daku sedang menatapi kepada wajah Rasulullah (yang berada di samping) dan juga ke arah bulan, tetapi mengikut pandanganku wajah Rasulullah terlebih indah daripada bulan.”
# Saidina Ali menegaskan bahawa beliau tidak pernah melihat sesiapa pun yang terlebih kacak dan segak sama ada sebelum bertemu Rasulullah dan selepas bertemu yakni dalam tempoh sepanjang hayatnya.
# Berkata Ibnu Abbas: “Adalah Rasulullah insan yang amat pemurah.”
# Berkata Saidina Husin: “Rasulullah sentiasa tersenyum. Budi pekertinya indah dan baik, seorang yang merendah diri, tidak berlaku kasar, tidak bersuara keras, tidak melakukan dan mengucapkan dengan perkara keji.”Semua ini sekadar secebis daripada ribuan ciri-ciri keistimewaan junjungan besar Nabi Muhammad. Sahabat tidak rela berpisah dengan Rasulullah walaupun sesaat.Apabila Rasululah dijemput pulang menghadap Allah, mereka diselubungi perasaan sangat sedih. Sahabat hampir hilang kawalan dan menangis tidak henti-henti melihat pemergian kekasih mereka yang banyak berjuang selama ini demi menyelamatkan mereka daripada menjadi bahan bakar neraka.
Perutusan Nabi Muhammad amat bermakna buat umat manusia. Dengan kedatangan baginda manusia mula mengenali erti tamadun yang sebenar. Tanpa tunjuk ajar baginda, manusia hilang identiti sebagai insan berakal serta hilang arah dalam mengenali erti peradaban yang diredai Allah. Baginda berjaya mengubah alam kekufuran yang menghantui manusia dengan sinaran tauhid dan rahmat.
Allah mengutuskan Nabi Muhammad dengan slogan ‘saiyyidul mursalin wa khatamun nabiyiin’ - penghulu rasul dan utusan terakhir untuk menyampaikan Islam kepada seluruh manusia.
Baginda bersungguh-sungguh, berjihad, berkorban apa sahaja dalam menyampaikan amanat Allah supaya manusia akhirnya akur kepada pencipta mereka yang maha agung.
Firman Allah di dalam surah Ahzab: “Wahai nabi! Sesungguhnya kami mengutuskan kau sebagai saksi umat manusia, pemberi berita gembira (mengenai ganjaran beramal soleh) dan pemberi ancaman (terhadap mereka yang ingkar). Serta penyeru kepada Allah dengan keizinan-Nya dan sebagai cahaya yang memerangi alam.” (ayat 45 dan 46: surah al-Ahzab)
Jasa Rasulullah terlalu besar untuk dihitungkan. Rasulullah pernah terseksa demi kebahagiaan umat Islam. Sirah mendedahkan bahawa Rasulullah pernah tercedera dan patah gigi dalam perjuangan dakwah.
Rasulullah pernah dihina dan diancam melalui percubaan bunuh oleh golongan kafir yang menentang risalah Islam. Tanpa Rasulullah kita tidak mengenal apa itu Islam, siapa pencipta alam ini dan akhirnya kita terus terbelenggu dengan rantaian kekufuran. Persoalannya, adakah majoriti umat Islam mengasihi dan menghargai pengorbanan baginda? Apakah muslimin dan muslimat benar-benar mengamati peribadi Rasulullah selaku insan pilihan?
Sebagai membuktikan kecintaan kita pada Nabi Muhammad, kita perlu mengorak langkah berikut:
# Sedarilah as-sunnah adalah peninggalan berharga kepada umat Islam. Mengamalkan sunnah Rasulullah sebagai tanda kita mengasihi baginda. Sabda Rasulullah: “Barangsiapa taat kepadaku (mengamalkan ajaran Islam yang terkandung di dalam as-sunnah), maka ia sesungguhnya taat kepada Allah. Firman Allah: “Katakanlah wahai Muhammad (kepada umatmu) seandainya kamu mencintai Allah (sebagai buktinya) ikutilah (sunnah) aku.” (ayat 31 : surah al-Baqarah ).
# Memperbanyakkan ucapan salam sejahtera pada Rasulullah, iaitu selawat. Baginda amat kasih pada mereka yang banyak berselawat kepada baginda.Sabda Rasulullah: “Barangsiapa yang berselawat ke atasku dengan satu selawat, nescaya Allah akan berselawat ke atasnya dengan sepuluh selawat.”
# Janganlah memperkecil-kecil, menghina dan menpertikai Rasulullah, keluarganya dan sahabatnya. Perbuatan itu boleh membatalkan iman.Justeru, menjadi tanggungjawab kita untuk sensitif, prihatin dan membela kekasih Allah sebagai bukti kecintaan kita kepadanya.Dengan tiga inisiatif yang disebutkan tadi, dapatlah kita amalkan supaya dipermudahkan kita masuk syurga bersampingan dengan Rasulullah yang mulia.
Ulama menyatakan, nikmat dan ganjaran paling berharga di syurga ialah dapat melihat Allah. Di samping itu, nikmat yang tiada taranya ialah berpeluang bersama Rasulullah.
Posted by tiara-qurratu'aini at 4:59 PTG 0 comments
Labels: Insan Terpilih (Rasulullah)

