THOUSANDS OF FREE BLOGGER TEMPLATES

follower (teman setia membina Ilham)

Jumaat, 13 Mac 2009

Keikhlasan Menghalang 4 Halangan Beribadah

KEIKHLASAN hati dan jiwa melakukan ibadat kepada Allah adalah kemuncak kepada kemurnian nurani seseorang kerana dengan sifat ikhlas saja mampu menghalang daripada perkara yang menghadang diri untuk beristiqamah. Ulama besar al-Imam Ghazali menyatakan ada empat perkara besar yang selalu menjadi penghalang untuk beribadat kepada Allah iaitu dunia, makhluk, nafsu dan syaitan. Jika diteliti maksud dunia seperti diperkatakan ilmu tasauf merangkumi semua perkara yang tidak memberi manfaat apabila seseorang kembali ke hadrat Ilahi seperti wang, harta menimbun atau pangkat.

Setiap amalan bermula dengan niat. Justeru, jika niat kerana Allah maka amalan menjadi ibadat, tetapi ia hanya adat jika sebaliknya. Setiap perbuatan harus disertai niat untuk mendapat keredaan Allah.


Keduanya ialah gangguan dan halangan makhluk Allah termasuk anak, binatang ternakan dan harta yang boleh melalaikan manusia sehingga lupa kewajipan menunaikan ibadat wajib serta sunat.

Allah berfirman yang bermaksud:

“Dan ketahuilah bahawa harta benda kamu dan anak pinak kamu itu adalah ujian kepada kamu.” (Surah al-Anfal, ayat 28)

Harta apabila sudah menimbun, ada kalanya menjadikan seseorang hamba kepada hartanya. Malah, ada yang sanggup meninggalkan tanggungjawab mengerjakan solat kerana terlalu menjaga harta benda. Ada juga ibu bapa yang melewatkan solat atau tidak mengerjakannya pada tempoh difardukan semata-mata melayan kerenah serta tuntutan anak.

Ketiganya ialah keinginan atau lebih dikenali sebagai nafsu yang sentiasa merajai diri. Penghalang dalam diri ini yang selalu sukar dilawan hingga terus tumbuh dan menyubur dalam diri setiap insan.

Manusia sering tunduk serta tewas dengan kehendak nafsu sendiri sehingga terpedaya dengan bisikan supaya meninggalkan tanggungjawab terhadap Allah. Ada pula meninggalkan solat dan puasa fardu semata-mata memenuhi dan menghormati undangan rakan.

Tidak kurang yang meninggalkan solat fardu kerana memenuhi tuntutan tugas yang memerlukan mereka sentiasa bergerak atau berada lebih lama di tempat duduk menyudahkan tugasan diberi seolah-olah sudah tiada masa lagi untuk menyiapkannya.

Keempat adalah desakan iblis dan syaitan yang sentiasa menggoda dengan tipu daya supaya manusia mengikut mereka ke arah kesesatan sehingga hari kiamat. Godaan itu datang dengan pelbagai cara dan rupa.

Ketika solat juga syaitan terus menggoda hamba Allah supaya hilang tumpuan dan kerja mereka menjadi lebih mudah apabila manusia dalam keadaan leka.

Rasulullah SAW mengajarkan doa yang bermaksud: “Aku berlindung dengan Allah daripada syaitan dan aku berlindung dengan Allah daripada kehadiran syaitan itu kepadaku.”

Pernah suatu ketika Aisyah, isteri Baginda Rasulullah SAW dalam keadaan marah. Melihatkan hal itu lalu Rasulullah SAW menegur isterinya dengan berkata: “Wahai Aisyah, kamu ini masih dikuasai syaitan kamu. Aisyah terperanjat lalu bertanyakan Baginda apakah setiap manusia dibekalkan syaitan? Lalu Rasulullah SAW menjawab: Ya, saya sendiri mempunyai satu syaitan, tetapi syaitan saya sudah masuk Islam.”

Golongan insan yang sukar diperdaya iblis dan syaitan adalah mereka yang meletakkan sifat ikhlas dan jujur di puncak ibadat kepada Allah.

Allah berfirman yang bermaksud:


“Dan tiadalah mereka diperintah melainkan supaya menyembah Allah dengan memurnikan ketaatan kepada-Nya dengan berterusan.” (Surah al-Bayyinah, ayat 5)

Firman Allah lagi yang bermaksud:

“Sesungguhnya syaitan itu adalah musuh bagi kamu semua, maka jadikanlah dia musuh (yang mesti dijauhi). Sebenarnya dia hanyalah mengajak manusia supaya menjadi penghuni neraka.” (Surah al-Fatir, ayat 6)

Kekuatan dan iltizam serta istiqamah dalam diri boleh menyingkirkan keempat-empat halangan melakukan ibadat kepada Allah. Selain niat yang ikhlas, kekuatan melawan bisikan supaya terus lalai memudahkan seseorang melaksanakan tanggungjawab sebagai khalifah Allah.

Pada masa sama, sentiasa berusaha memperbaiki diri dengan mendalami ilmu agama serta meningkatkan keimanan melalui amalan sunat kerana kesibukan melakukan perkara baik dapat mengelak daripada terjebak dengan hasutan membawa kepada kelalaian.

INFO: Penghalang ibadat

1. Dunia - semua perkara yang tidak memberi manfaat apabila seseorang kembali ke hadrat Ilahi seperti wang, harta menimbun atau pangkat.
2. Gangguan makhluk - termasuk anak, ternakan dan harta yang boleh melalaikan manusia sehingga lupa kewajipan menunaikan ibadat.
3. Nafsu - keinginan yang sentiasa merajai diri dan sukar dilawan sehingga terus subur dalam diri setiap insan.
4. Iblis dan syaitan - menggoda dengan pelbagai cara supaya manusia mengikut mereka ke arah kesesatan sehingga kiamat.

p/s: "Duhai teman, bersamalah kita memupuk keikhlasan dalam diri, jadikan kesukaran untuk mencapainya sebagai satu pendorong semangat agar tidak berputus asa, ayuh berusaha!"

4 comments:

a.t.u.l.a.s.c.a. berkata...

"keikhlasan ibarat melihat semut hitam diatas batu hitam di malam yang gelap gelita, tiada siapa yang dapat melihatnya kecuali Allah S.W.T." berusahalah untuk melepasi ujian keihlasan Allah ini~~

tiara-qurratu'aini berkata...

thanks a.t.u.l.a.s.c.a. comment yang membina, betul..sebagai manusia...usaha itu penting.

Tanpa Nama berkata...

Kekhusyukkan dlm ibadat solat bermula dlm niat nk mengerjakannya, baik perjalanannya(jika ke masjid), baik dlm wuduknya,kecantikan saf dlm solatnya, kemantapan bacaan dan penghayataannya dll..

tiara-qurratu'aini berkata...

thanks marzuqi....pendapat yg bernas! jemput memberi komentar lg di masa dpn

Catat Ulasan