
SEPANJANG perjalanan ke Dong Khoi, Lin mengheret tangan adiknya Nguyen Canh Dinh. Sesekali kaki kecil yang dialas selipar getah nipis, tersandung batu-batu jalan dan hampir tersungkur.
Lima kotak kipas lipat dan tiga buah album termuat gambar-gambar poskad Hanoi dan Ho Chi Minh City sudah beberapa kali jatuh ke tanah. Anak lelaki berusia lima tahun itu belum mampu memikul beban sebegitu dengan perjalanan yang jauh.
Lin tersenyum puas. Dari jauh dia melihat sekumpulan pelancong kulit putih bertaburan di kaki lima kedai sedang tawar-menawar. Beberapa orang penjual kipas, poskad, bakul rotan, topi dan jenis-jenis kerja tangan lain sedang memujuk pelancong supaya membeli dagangan mereka.
Langkah Lin tambah pantas. Tangan Canh Dinh dipegang kukuh. Dia segera menyeberang jalan untuk mendapatkan kumpulan pelancong.
Seorang wanita berumur awal tiga puluh tahun memikul adik lelakinya yang lumpuh kedua-dua belah kaki. Adik lelaki yang lumpuh sejak lahir itu diletakkan di kaki lima kedai. Wanita itu menadah-nadah tangan sambil menunjuk-nunjuk ke arah adiknya. Adik pula menggapai-gapai tangan sambil menarik sesiapa sahaja yang berhampiran mohon simpati. Seorang pelancong menoleh, setelah terasa kaki seluarnya ditarik. Dia menghulurkan satu dolar kepada budak lelaki berusia kurang lebih sebelas tahun itu.
Beberapa orang peminta sedekah datang mengerumuni lelaki kulit putih yang baik hati. Masing-masing menadah tangan minta wang. Ada juga yang menyuakan dagangan mereka. Lin turut merapati lelaki yang bersedekah tadi. Dia membuka kipas tangan lalu mengipaskan ke badan lelaki itu. Canh Dinh pula membuka album poskad dan menyuakannya. Pelancong itu menggeleng tangan beberapa kali lalu meninggalkan mereka.
``Satu dolar saja tuan,'' pujuk Lin dalam bahasa Inggeris. Lelaki itu terkejut dan menoleh ke arah Lin yang mengekorinya. Dia hairan Lin boleh berbahasa Inggeris. Dia mula terpikat kepada Lin dan mengajukan berbagai-bagai soalan. Lin mengikut ke mana saja dia pergi dan turut menawarkan barang-barang yang mahu dibeli pelancong itu.
Lin memang fasih berbahasa Inggeris. Sebab itulah jualannya cepat habis. Lin sering menggunakan kefasihannya berbahasa Inggeris dengan menjadi pemandu pelancong secara tidak rasmi.
``Saya sudah beli di sana tadi.'' Lelaki kulit putih itu menunjuk ke arah seorang perempuan memakai terendak berbentuk tudung saji. Perempuan itu sedang menari-nari sambil mengangkat terendaknya di hadapan seorang pelancong, untuk menarik perhatian. Menerima jawapan itu, Lin hampa. Tetapi lelaki itu memberinya dua dolar kerana telah membantunya. Lebar senyum Lin menerima wang sebanyak itu. Dia berjalan lagi menuju ke jalan Le Loi. Di situ juga ramai pelancong, fikirnya.
Lin berhenti di sebuah gerai minuman. Dia membeli segelas air sirap lalu meneguk beberapa kali. Bakinya disuakan kepada Canh Dinh.
``Kakak, laparlah,'' Canh Dinh mendongak ke muka Lin. Langkahnya semakin perlahan. Lin tidak menjawab. Tangan Canh Dinh diheret terus.
`
`Kakak pun lapar. Dagangan kita satu pun belum laku. Macam mana nak beli makanan.'' Lin terpaksa memujuk adiknya kerana Canh Dinh tidak mahu melangkah lagi. ``Tak jauh. Sekejap lagi kita sampai.'' Lin mendukung adiknya yang telah pun mencangkung di atas jalan.
Beberapa buah basikal dan motosikal terpaksa ke kiri dan ke kanan untuk mengelakkan Lin dan Canh Dinh.
``Tadi, kakak beli air?'' Canh Dinh tidak puas hati. Dia mahu makanan juga.
``Itu lebih duit semalam. Cuma boleh beli air.'' Lin terus memujuk. Belakang Canh Dinh diurut beberapa kali.
``Orang putih itu beri wang.'' Canh Dinh meronta dan menggelongsor dari dukungan Lin. Kipas dan album poskad bertaburan. Dia duduk. Badannya dikeraskan. Dia tidak mahu berjalan. Canh Dinh tahu Lin dapat duit daripada pelancong tadi.
``Kakak nak beli ubat untuk mak. Mari kita jalan lagi. Kalau banyak laku, nanti kakak beli roti.'' Puas Lin memujuk dan berjanji akan membelikannya pistol mainan yang sudah lama diidamkan Canh Dinh. Canh Dinh bangun. Lin mengheret terus tangan kecil itu.
Di kawasan membeli-belah Le Loi, Lin bertemu sekumpulan pelancong tadi. Kali ini tentu bernasib baik, fikirnya dalam hati. Terbayang wajah cengkung ibu yang sudah beberapa hari tidak lalu makan.
Lin risau melihat kesihatan ibu sejak tiga minggu kebelakangan ini. Dia tidak cukup duit untuk membawa ibu ke klinik. Duit yang diperoleh dibelikan ubat batuk dan selesema dari kedai. Tetapi sakit ibu tetap tidak sembuh. Malah semakin teruk. Lin tidak tahu penyakit ibu. Sudah tiga minggu suhu panas badan ibu tidak turun.
Selesema dan batuk ibu berpanjangan. Sekitar mulut dan bibir ibu ditumbuhi ruam merah dan putih bernanah. Mungkin itu yang menyebabkan ibu tidak selera makan.
Sejak ibu sakit segala urusan rumah tangga dari mencari rezeki hinggalah memasak Lin yang lakukan. Awal pagi Lin dan Canh Dinh keluar rumah membawa bakul anyaman abangnya Nguyen Van Ho, kipas lipat dan album gambar poskad. Van Ho pula tidak mampu melakukan sebarang kerja berat selain menganyam bakul daripada rotan.
Kalau dapat pikat pelancong ini, tentu akan dapat makan sedap hari ini. Kembang hati Lin mengingatkan hal itu. Dia segera merapati kumpulan pelancong.
``Mama dari mana?'' Lin memulakan perbualan. Perjalanan sekumpulan pelancong itu terhenti mendengar pertanyaan Lin.
``Malaysia.'' Seorang wanita berbadan gempal berbaju kurung biru menjawab.
``Malaysia? Saya tahu Malaysia dan Kuala Lumpur. Ramai orang Malaysia yang melancong ke mari.'' Lancar dan mesra suara dalam bahasa Inggeris Lin. ``Bila Mama sampai?'' sambung Lin lagi seperti sudah mesra benar dengan orang itu.
``Sudah dua hari. Esok akan pulang ke Kuala Lumpur.'' Panggilan ``Mama'' daripada Lin menjadikan wanita berbadan gempal itu segera teringatkan anak-anak di rumah yang hampir seminggu ditinggalkan.
``Mama'' memerhati Lin dan adiknya. Timbul rasa kasihan di hati. Lin menghulur satu kotak kipas kepada ``Mama.'' Mama menghulur satu dolar kepada Lin, walaupun sudah dua kotak kipas dan satu album gambar poskad dibeli sebelum ini. Di tangannya juga sudah ada bakul rotan.
``Mama tinggal di mana?''
``Hotel Rex,'' orang yang dipanggil Mama oleh Lin segera meninggalkannya. Dia terpaksa berjalan pantas kerana takut akan terpisah daripada kumpulannya. Lin turut pantas mengheret adiknya menjejaki kumpulan pelancong dari Malaysia itu.
``Mama mahu ke mana lagi?'' Lin menghalang perjalanan kumpulan pelancong itu.
``Boleh tunjukkan kami pasar besar?''
``Ben Thanh market?'' Sepantas kilat Lin berjalan di celah-celah orang ramai dan meminta kumpulan pelancong itu mengikutinya. Lin berhenti di tepi jalan untuk memberi laluan kepada beberapa buah motosikal dan basikal. Dia menyeberang jalan menuju ke pasar Ben Thanh.
Daripada kumpulan seramai lapan orang, hanya tiga orang yang mengikut perjalanan Lin. Lin menawarkan harga yang berpatutan kepada penjual untuk pelancong yang mengikutnya. Dia menawar dalam bahasa Vietnam kemudian memberitahu pelancong dalam bahasa Inggeris.
Canh Dinh tidak mahu jalan lagi. Dia mencangkung di kaki lima kedai berhampiran dengan penjual roti.
``Kenapa adik awak?''
``Dia lapar. Tak mahu jalan lagi.''
``Kenapa awak bawa adik kecil begini? Kan lebih baik kalau dia tinggal di rumah?'' Mata Mama menyorot ke wajah Canh Dinh yang muram. Penjual roti mengunjuk-unjukkan roti di dalam guni yang terdedah. Masih banyak. Dia membeli sebuku roti lalu menghulurkan kepada Canh Dinh. Canh Dinh mengambil roti dan memakan dengan rakus. Lin mencubit roti di tangan adiknya kemudian menyumbatkan ke mulutnya. Mama dan dua orang kawannya memerhati penuh simpati.
``Berapa umur awak?'' Tanya kawan Mama yang dikenali sebagai Leha.
``Dua belas tahun.''
``Adik?''
``Lima tahun.''
``Awak tak sekolah?''
``Tak ada duit. Nak makan pun tak cukup, macam mana nak pergi sekolah?''
Lin tersengih sambil tangannya menggosok hidungnya yang mancung kemudian menguakkan rambut yang menutup dahi. Lin tidak seperti adiknya bermata sepet dan berhidung kembang. Wajah Lin mirip orang putih. Bola matanya seakan biru. Berambut perang mencecah ke paras bahu tetapi tidak terurus. Kusut dan kotor. Kalau dia sering mandi dan dipakaikan pakaian yang bersih, sudah tentu Lin seorang anak perempuan yang comel.
``Mahu ikut balik Malaysia?'' Lin tersengih lagi. Dia memandang Canh Dinh. Kemudian dia melempar pandangan ke depan. Kosong. Lin teringat lagi ibu yang terlantar sakit. Ibu kelihatan semakin kurus dan cengkung. Dia hilang tenaga dan kelihatan lemah sejak enam bulan lalu. Selera makan turut berkurangan. Matanya merah dan hidungnya sentiasa berair.
``Siapa mahu jaga emak, adik dan abang?'' Lin menatap wajah Mama.
``Mana mak?''
``Di rumah. Sakit... abang pula tak ada kaki.''
``Tak ada kaki? Kenapa?''
``Kedua-dua kaki abang kena potong. Terpijak periuk api tentera Amerika. Dia orang suka juga kacau mak. Sebab itu bapa benci tentera Amerika.'' Lin kanak-kanak polos yang tidak tahu apa-apa tentang kehidupan terus bercerita mengenai keluarganya.
Dia cuma tahu cari duit dengan menjual bakul rotan, kipas dan album gambar setiap hari. Menjejak ke mana sahaja pelancong pergi. Yang penting dia dapat sedikit upah dan dapat membeli makanan untuk menyambung hidup keluarganya setiap hari.
``Bapa kerja apa?''
``Di Hanoi. Ibu bapa Canh Dinh. Bapa saya orang Amerika,'' terang Lin sedikit bangga. Dia menepuk bahu adiknya.
``Kenapa bapa pergi Hanoi. Mak dan awak tinggal di sini?'' Leha cuba mencungkil rahsia. Mama turut mengangguk ingin tahu.
``Kata bapa, mak jahat. Mak suka kawan orang Amerika. Sebab itu mak sakit dan tak boleh sembuh. Bapa pergi Hanoi tinggalkan mak.''
``Mama'' dan Leha berpandangan. Seorang lagi kawan menggeleng kepala beberapa kali.
``Mangsa penjajah!'' desis Mama.
``Awak tak sekolah, macam mana pandai cakap Inggeris?'' Leha memegang bahu kanan Lin.
``Belajar daripada pelancong.''
``Awak pernah jumpa bapa awak?''
``Dia sudah balik Amerika. Esok, pukul berapa Mama nak balik?'' Lin mengubah tajuk persoalan. Dia tidak pernah kenal siapa bapa sebenarnya. Dia hanya tahu bapanya orang Amerika melalui pertengkaran ibu dan bapanya.
Selepas membeli barang-barang lacquer Lin menghantar tiga orang pelancong ke tangga bas yang sedang menunggu di Jalan Le Loi.
``Pukul 10.00 pagi akan bertolak dari hotel.'' Mama terus menaiki bas pelancong. Lin dan Canh Dinh melambai tangan. Sebelum pulang Lin singgah di kedai membeli ubat selesema ibu, beras dan ikan bilis.
Dalam kepalanya telah ada bubur nasi dan ikan bilis goreng untuk makan malam sekeluarga. Dapat makan semangkuk bubur sehari pun sudah memadai untuk keluarga Lin. Hari itu Lin pulang ke rumah dengan senang hati. Dia tidak keluar berjaja lagi pada malam itu.
Ibu Lin terbaring di atas kepingan kotak berlipat dua. Kepalanya beralaskan sehelai tuala buruk. Sesekali terdengar dia mengerang kesakitan.
Van Ho tersandar pada dinding berhampiran ibunya. Kiri kanannya terdapat dua batang tongkat kayu. Bilah-bilah rotan yang sudah diraut, bertaburan di sekitarnya. Bekas aktivis Vietcong ini mempunyai semangat kental. Tetapi setelah kudung dua belah kaki dia seperti patah semangat untuk hidup. Dia jadi pemarah dan menyesali diri kerana tidak dapat bertanggungjawab terhadap keluarga dengan baik.
Dia marah kepada ayah yang meninggalkannya, ibu dan adik-adik dalam keadaan begitu. Kesal kepada tentera Amerika kerana ikut campur urusan dalam negaranya dan menjadikan dia kudung kedua-dua belah kaki.
Lin dan Canh muncul di muka pintu bertutupkan sehelai guni buruk sebagai langsir. Pondok yang terbina daripada zink dan papan buruk itu hanya berlantaikan tanah keras yang dialas dengan beberapa keping kotak. Pondok itu dibina pada pojok belakang sebuah rumah papan milik jirannya.
Lin merapati ibunya. Dia bercerita riang tentang pendapatannya hari itu dan dia telah membeli ubat, beras dan sedikit keperluan dapur. Ibu seperti tidak berminat mendengar cerita Lin. Matanya tegak memandang zink bocor dengan dadanya berombak cepat. Perutnya kempis dan melengkung ke bawah. Dengan suara kasar Van Ho menyuruh Lin segera ke dapur memasak bubur kerana perutnya sejak pagi tidak berisi.
Lin memasak bubur dalam periuk tanah. Kemudian menggoreng ikan bilis. Sementara itu Canh Dinh mengatur kotak-kotak kipas dan album poskad yang belum terjual di atas kotak pada sudut rumah.
Malam itu mereka makan sedap. Seorang semangkuk bubur dan ikan bilis goreng. Van Ho meminta Lin mengekori pelancong lagi, supaya mereka boleh makan bubur lagi pada setiap malam.
Pukul 9.30 pagi Lin dan Canh Dinh sudah berkeliaran di hadapan Hotel Rex. Di tangannya ada bakul rotan, kipas dan album poskad. Beberapa orang penyambut tetamu di hotel itu menghalau Lin dari pekarangan hotel. Lin pergi. Sebentar kemudian dia datang lagi setelah melihat penyambut tetamu tiada di situ. Peluang ini tidak boleh dilepaskan, detik Lin dalam hati.
Rombongan dari Malaysia turun ke lobi untuk menaiki bas yang menunggu di hadapan hotel. Ada juga yang mengambil kesempatan bergambar di hadapan patung ``Uncle Ho'' di hadapan hotel. Lin dan Canh Dinh bergegas ke tangga bas. Beberapa orang peminta sedekah dan penjual barang-barang kraf tangan datang mengerumuni. Penyambut tetamu hotel tidak dapat mengawal keadaan. Mereka membiarkan sahaja.
Lin menyambut Mama dan kawan-kawan yang baru turun.
``Lin, ini ada roti, biskut, mi segera dan coklat untuk awak.'' Mama menghulur sebuah beg plastik berisi makanan bekal yang tidak habis di makan. Lin menyambut gembira. Dia tidak putus-putus mengucapkan terima kasih kepada Mama. Leha dan kawan-kawan Mama turut memberikan makanan tidak habis kepada Lin. Ada juga memberikan dong yang tidak sempat digunakan kepada Lin dan beberapa peminta sedekah di situ. Untuk kali terakhir ``Mama,'' Leha dan beberapa orang lagi bergambar kenangan dengan Lin dan adiknya di hadapan hotel itu.
``Orang Malaysia baik hati,'' puji Lin kepada kumpulan Mama. Dia bersalaman dengan Mama dan rombongan pelancong. Dia mengharapkan rombongan Mama akan datang lagi ke situ satu hari nanti.
Hari itu Lin tidak berjaja. Selepas pelancong Malaysia meninggalkan hotel, Lin dan Canh Dinh terus pulang ke rumah membawa berbagai-bagai juadah. Dia bercadang untuk membuat mi segera setelah menanya kepada Mama bagaimana mahu membuatnya.
Hati Lin rasa tidak sedap. Dia segera teringatkan ibu. Selera ibu tentu akan terbuka jika melihat mi segera yang dibuatnya. Lin tidak sabar untuk sampai cepat di rumah. Langkah Lin semakin pantas. Belum sampai di pintu rumah Van Ho terpacak di tengah jalan dengan kedua-dua tangannya bertongkat. Kedua-dua lutut yang tergantung terbuai-buai sedikit.
``Abang mahu ke mana?'' Lin memandang wajah Van Ho yang kelihatan cemas. Van Ho tidak pernah begitu. Dia tidak akan meninggalkan ibu yang sakit sendirian di rumah.
``Abang nak pergi cari kau. Mujur kau balik cepat. Mana Canh Dinh?'' tanya Van Ho setelah melihat adiknya tiada bersama.
``Di belakang sana.'' Lin menunjukkan Canh Dinh yang berjalan lambat sedang leka membuka pembalut coklat. ``Kenapa abang keluar? Mak kan sakit,'' tanya Lin risau.
``Mak...'' Van Ho tidak dapat meneruskan ucapan. Kelopak matanya yang memang basah terus menumpahkan air. Lin berlari masuk ke dalam rumah diikuti Van Ho dan Canh Dinh.
Lin menerkam tubuh ibunya yang kaku sambil menggoleknya beberapa kali. Dia memanggil nama ibu sambil bercerita tentang makanan yang diterima daripada pelancong pagi itu. Namun ibu tetap bersahaja. Tiada lagi keluhan sakit dan ombakan keras di dadanya.
``Ibu meninggalkan kita beberapa minit selepas kau dan Canh Dinh keluar tadi.'' Suara Van Ho tersekat-sekat. Wajah ibu ditatap puas.
Lin mencium pipi ibu yang sejuk. Air matanya gugur ke wajah yang pucat kaku. Putaran alam hidupnya seakan-akan berhenti seketika, persoalannya masihkah punya senang di hati anak itu setelah setingkat saying , setingkat pengorbanan dan setingkat pengharapan di pertaruhkan…
p/s: "Duhai teman...hidup ini adakalanya tak seindah yang digambarkan, jadi bershukurlah dalam apa keadaan sekalipun mahupun susah atau senang, jangan sekali sesali takdir dan nasib diri...sesusah mana pun kita ada lagi diluar sana yang lebih payah...bershukur seadanya ucaplah Alhamdulillah...".
Isnin, 29 Jun 2009
Setingkat Kasih , Setingkat Pengorbanan Dan Setingkat Pengharapan.
Posted by tiara-qurratu'aini at 4:45 PG 2 comments
Labels: Cipta Tulis (Ilham Kreatif)
Sabtu, 27 Jun 2009
Salam Amal Dan Perjuangan Buat Teman (TAG AMAL)

syukran, terima kasih, thank you , merci, gracias..hehe~..moga berkekalan PERSAHABATAN kita..:)
Peraturannya mudah sahaja:-
Sahlan jiddan2.... Mai check this out..
1) Copy gambar amal Islam di bawah. Copy satu post ni pun tak pa. Mudah dan menjimatkan masa. harapnya mcm 2 la.
2) Kemudian pilih 10 orang sahabat anda dan wajibkan mereka melakukan perkara yang sama. Ingat! 10 orang tahu? Labih2, lagi bagus. Terlebih? Jangan melampau sudah.
Hu2.. Calon2 dan pemenangnya:
* emwhysayang - kakdek
* nawwarfillah- my best roomate
* farahimani - farah uchukkk
* tiffin biru- uncle mat resepi meletop
* gula-gula beracun - Ayu Candy
* Ku Biar Kalam Berbicara - kak nisah
* wardatulhamra - billa bella
* NurZahirahZahid - kak chip dulu, sekarang kak zahirah..hehe~~
* Ekramulhakim - En. Ikram
* Abadahu, ibaadatan, mabadatan - yusuf hadhari..hehe~~ time kaceh yer !
p/s : "kepada sesiapa yg belum di 'tag' tunggu2 je ye ...bila tiba masanya...anda pasti kena jua...jumpa lagi, senyum untuk dunia..."
Posted by tiara-qurratu'aini at 3:34 PG 2 comments
Labels: Aku dan diri ku
Terbinanya 'BERSATU, BERPADU' kerana wujudnya 'KASIH dan SAYANG'
Kebaikan amat kurang sekali. Kasih saying hampir tiada, manakala keadilan, keamanan, keselamatan dan kebahagiaan pupus.
Jiwa manusia terseksa kerana tidak di beri makan.Tapi kalau kemiskinan lahir saja yang disusahkan sedangkan kelaparan jiwa tidak di atasi, maka terjadilah kehidupan yang pincang. Lahir batin tidak seiring atau sejalan lagi.Pada lahirnya manusia bergaul, bermasyarakat dan saling memerlukan tapi hati masing masing kosong, pecah belah dan berburuk sangka, menyimpan dendam, dengki, benci, bakhil dan lain lain.
Di dalam Al Quran ada menyebutkan:
“Kamu lihat mereka bersatu padu tapi hati mereka berpecah pecah” (Al Hasyr:14)
Jadi manusia bekerja tapi dalam keadaan terpaksa, bergaul dan bermesra secara terpaksa, ikut arahan secara terpaksa. Lahirlah masyarakat yang hidup berpura pura sebagai akibat daripada sakit jiwa yang telah melanda kehidupan lahiriah manusia.Bilamana manusia bekerja dengan terpaksa, hasilnya akan mengecewakan. Pembangunan dan kejayaan tinggal laungan kosong. Masing masing memikirkan kepentingan sendiri yang tidak selesai selesai hingga Rakyat dan masyarakat terbiar tanpa perhatian dan pembelaan Inilah yang sedang terjadi sekarang.
Menyedari hakikat ini, marilah kita semua berjuang dan berkorban untuk membina kembali kehidupan berkasih sayang. Mari kita renungkan mengapa orang tidak sayangkan kita dan kita pun tidak sayangkan orang lain.Mengapa orang marahkan kita dan kita pun marahkan orang lain?Mengapa orang bencikan kita dan kita pun bencikan orang lain?
Bagaimana dan apa yang mesti dilakukan supaya orang sayangkan kita dan kita pun sayangkan mereka! Apa usahanya agar diri kita disayangi dan menyayangi? ayuh! bersama kita fikirkan....
p/s: "Duhai teman, pada zaman ini kita sering mendengar laungan ke arah perpaduan sebagai teras dalam semua perencanaan yang dibina, mengapa ianya sekadar laungan tanpa ada sahutan kebenaran? fikirkan dan dalami aspek ini dengan kasih sayang ...saya pasti anda kan temui jawapan ".
Posted by tiara-qurratu'aini at 2:19 PG 0 comments
Labels: Lampau Mengajar Erti (Sejarah)
Sabtu, 30 Mei 2009
Mampukah Sehebat Mereka?
"Akan datang kepadamu pertolongan saat kau berputus asa,
sebagai anugerah dari Yang Maha Esa,
lagi Maha Memperkenankan doa..."
Perjalanan pagiku ke fakulti pada 2 hari yang lepas membawa kepada satu perkenalan yang takku sangka, pada awalnya aku sekadar bertegur sapa dengan seorang ibu tua yang memimpin tangan puterinya ( Mailouda)sebaya denganku untuk menghantarnya ke U sama dgnku ,ibu itu setia membimbing anaknya yang tiada daya penglihatan itu sejak kecil hingga ke hari ini, setiap hari menghantar ke universiti dan akan mengambilnya pulang pada waktu yang dijanjikan dengan berjalan kaki walaupun perjalanan dari rumahnya mengambil masa 1jam 30 minit untuk sampai ke universiti. Namun, si ibu tua yang hampir bongkok itu tetap tersenyum.....
Duhai wanita....
Jadilah seperti seorang wanita tua yang kuat di hadapan Gabenor Al-hajjaj dengan keyakinannya kepada Tuhannya.Saat anaknya dipenjara oleh Al-Hajjaj, sang Gabenor bersumpah untuk membunuh anaknya dihadapannya. Namun wanita tua itu tetap yakin, teguh, berani dengan lantangnya menjawab:" Sekalipun engkau tidak membunuhnya, dia pasti akan mati juga"
Jadilah engkau seperti seorang perempuan Parsi yang sangat tawakal kepada Allah ketika kehilangan reban ayamnya. Dia memandang ke langit dan berdoa:" Wahai Allah, jagalah reban ayamku, kerana sesungguhnya Engkau sebaik-baik penjaga".
Jadilah diri anda seperti Asma' puteri Abu Bakar, dalam kekuatannya setelah melihat anak lelakinya Abdullah bin Zubair terbunuh dalam keadaan terpancang di tiang salib, lalu dia mengucapkan kata-katanya yang terkenal:" Sekarang sudah saatnya bagi penunggang kuda yang berani ini beristirehat dengan tenang".
Jadilah seperti Al-khansa' yang menyerahkan 4 anaknya di jalan Allah, ketika mereka terbunuh syahid, dengan sabar dan tenang dia berkata:" Segala puji bagi Allah, yang telah memuliakanku dengan syahidnya 4 pewarisku di jalan Allah".
P/S:"Duhai teman...perhatikanlah wanita-wanita tersebut, sejarah hidup mereka yang sarat dengan kemuliaan, mereka membuktikan kelembutan itu bukan satu kelemahan, malah ia adalah tunjang kekuatan luar biasa yang tak mungkin ditafsiri pandangan mata, moga kita mampu sehebat mereka...in sha Allah"
Posted by tiara-qurratu'aini at 3:06 PG 2 comments
Labels: hangatkan jiwa (motivasi)
Ahad, 19 April 2009
Sambungan, Khalifah Agung Umar Abdul Aziz
Biodata Ringkas
Nama : Abu Jaafar Umar bin Abdul Aziz bin Marwan bin Hakam
Nama Ibu : Laila binti 'Asim bin Umar bin Al-Khatab
T/Lahir : 61H
Umur : 39 tahun
Tarikh M/Dunia : 101H
Jawatan : Khalifah Ke 6 Bani Umaiyyah
Tarikh Lantikan : Safar 99H @ 717M
Lama Berkhidmat : sekitar 2 tahun 5 bulan
Pendidikan
Beliau telah menghafaz al-Quran sejak masih kecil lagi. Merantau ke Madinah untuk menimba ilmu pengetahuan. Beliau telah berguru dengan beberapa tokoh terkemuka spt Imam Malik b. Anas, Urwah b. Zubair, Abdullah b. Jaafar, Yusuf b. Abdullah dan sebagainya. Kemudian beliau melanjutkan pelajaran dengan beberapa tokoh terkenal di Mesir.
Beliau telah dipanggil balik ke Damsyik oleh Khalifah Abdul Malik b. Marwan apabila bapanya meninggal dunia dan dikahwinkan dengan puteri Khalifah, Fatimah bte Abdul Malik (sepupunya)
Sifat-Sifat Peribadi
Beliau mempunyai keperibadian yang tinggi, disukai ramai dan warak yang diwarisi dari datuknya Saidina Umar b Al-Khatab. Baginda amat berhati-hati dengan harta terutamanya yang melibatkan harta rakyat. Sesungguhnya kisah Khalifah Umar bin Abdul Aziz yang menyediakan dua lilin di rumahnya, satu untuk kegunaan urusan negara dan satu lagi untuk kegunaan keluarga sendiri tentunya telah diketahui umum dan tidak perlu diulang-ulang.
Sebagai seorang yang zuhud, kehidupannya semasa menjadi Gabenor Madinah dan Khalifah adalah sama seperti kehdupannya semasa menjadi rakyat biasa. Harta yang ada termasuk barang perhiasan isterinya diserahkan kepada Baitulmal dan segala perbelanjaan negara berdasarkan konsep jimat-cermat dan berhati-hati atas alasan ia adalah harta rakyat. Ini terbukti apabila beliau dengan tegasnya menegur dan memecat pegawai yang boros dan segala bentuk jamuan negara tidak dibenarkan menggunakan harta kerajaan.
Pada suatu hari beliau berkhutbah yang mana antara isinya adalah spt berikut ;
"Setiap orang yang musafir mesti memperlengkapi bekalannya. Siapkanlah taqwa dalam perjalanan kamu dari dunia menuju akhirat. Pastikan dirimu sama ada mendapat pahala atau siksa, senang atau susah."
"Jangan biarkan masa berlalu sehingga hatimu menjadi keras dan musuh sempat mengoda. Sebaik-baiknya saudara menganggap bahawa hidup pada petang hari tidak akan sampai ke pagi hari dan hidup pada pagi hari tidak akan sampai ke petang hari. Memang tidak jarang terjadi kematian ditengah-tengahnya"
"Saudara-saudara dapat menyaksikan sendiri bahawa ramai orang yang tertipu dengan dunia, padahal orang yang layak bergembira tidak lain kecuali orang yang selamat daripada siksaan Allah SWT dan orang yang lepas dari tragedi hari qiamat."
"Sementara orang yang tidak mahu mengubati yang sudah luka, kemudian datang lagi penyakit lain, bagaimana mungkin mahu bergembira ? Saya berlindung kepada Allah SWT daripada perbuatan yang tidak aku pegangi dan amalkan sendiri. Seandainya begitu, alangkah rugi dan tercelanya aku. Dan jelaslah tempatku nanti pada hari yang jelas kelihatan siapa yang kaya dan siapa yang miskin".
"Di sana nanti akan diadakan timbangan amal serta manusia akan diserahi tanggungjawab yang berat. Seandainya tugas itu dipikul oleh binatang-binatang nescaya ia akan hancur, jika dipikul oleh gunung nescaya ia akan runtuh, kalau dipikul oleh bumi nescaya bumi akan retak. Saudara-saudara belum tahu bahawa tiada tempat di antara Syurga dan Neraka ? Kamu akan memasuki salah satu daripadanya."
"Ada seorang lelaki yang mengirim surat kepada rakannya yang isinya : "Sesungguhnya dunia ini adalah tempat bermimpi dan akhirat barulah terjaga" Jarak pemisah antara keduanya adalah mati. Jadi, kita sekarang sedang bermimpi yang panjang"
Terdapat banyak riwayat dan athar para sahabat yang menceritakan tentang keluruhan budinya. Di antaranya ialah :
1) At-Tirmizi meriwayatkan bahawa Umar Al-Khatab telah berkata : "Dari anakku (zuriatku) akan lahir seorang lelaki yang menyerupainya dari segi keberaniannya dan akan memenuhkan dunia dengan keadilan"
2) Dari Zaid bin Aslam bahawa Anas bin Malik telah berkata : "Aku tidak pernah menjadi makmum di belakang imam selepas wafatnya Rasulullah SAW yang mana solat imam tersebut menyamai solat Rasulullah SAW melainkan daripada Umar bin Abdul Aziz dan beliau pada masa itu adalah Gabenor Madinah"
3) Al-Walid bin Muslim menceritakan bahawa seorang lelaki dari Khurasan telah berkata : "Aku telah beberapa kali mendengar suara datang dalam mimpiku yang berbunyi : "Jika seorang yang berani dari Bani Marwan dilantik menjadi Khalifah, maka berilah baiah kepadanya kerana dia adalah pemimpin yang adil"." Lalu aku menanti-nanti sehinggalah Umar b. Abdul Aziz menjadi Khalifah, akupun mendapatkannya dan memberi baiah kepadanya".
4) Qais bin Jabir berkata : "Perbandingan Umar b Abdul Aziz di sisi Bani Ummaiyyah seperti orang yang beriman di kalangan keluarga Firaun"
5) Hassan al-Qishab telah berkata :"Aku melihat serigala diternak bersama dengan sekumpulan kambing di zaman Khalifah Umar Ibnu Aziz"
6) Umar b Asid telah berkata :"Demi Allah, Umar Ibnu Aziz tidak meninggal dunia sehingga datang seorang lelaki dengan harta yang bertimbun dan lelaki tersebut berkata kepada orang ramai :"Ambillah hartaku ini sebanyak mana yang kamu mahu". Tetapi tiada yang mahu menerimanya (kerana semua sudah kaya) dan sesungguhnya Umar telah menjadikan rakyatnya kaya-raya"
7) 'Atha' telah berkata : "Umar Abdul Aziz mengumpulkan para fuqaha' setiap malam. Mereka saling ingat memperingati di antara satu sama lain tentang mati dan hari qiamat, kemudian mereka sama-sama menangis kerana takut kepada azab Allah seolah-olah ada jenayah di antara mereka."
Umar Ibnu Aziz Sebagai Khalifah
Beliau dilantik menjadi Khalifah stelah kematian sepupunya, Khalifah Sulaiman atas wasiat khalifah tersebut. Setelah mengambilalih tampuk pemerintahan, beliau telah mengubah beberapa perkara yang lebih mirip kepada sistem fuedal. Di antara perubahan awal yang dilakukannya ialah :
1) menghapuskan cacian terhadap Saidina Ali b Abu Thalib dan keluarganya yang disebut dalam khutbah-khutbah Jumaat dan digantikan dengan beberapa potongan ayat suci al-Quran
2) merampas kembali harta-harta yang disalahgunakan oleh keluarga Khalifah dan mengembalikannya ke Baitulmal
3) memecat pegawai-pegawai yang tidak cekap, menyalahgunakan kuasa dan pegawai yang tidak layak yang dilantik atas pengaruh keluarga Khalifah
4) menghapuskan pegawai peribadi bagi Khalifah sebagaimana yang diamalkan oleh Khalifah terdahulu. Ini membolehkan beliau bebas bergaul dengan rakyat jelata tanpa sekatan tidak seperti khalifah dahulu yang mempunyai pengawal peribadi dan askar-askar yang mengawal istana yang menyebabkan rakyat sukar berjumpa.
Selain daripada itu, beliau amat mengambilberat tentang kebajikan rakyat miskin di mana beliau juga telah menaikkan gaji buruh sehingga ada yang menyamai gaji pegawai kerajaan.
Beliau juga amat menitikberatkan penghayatan agama di kalangan rakyatnya yang telah lalai dengan kemewahan dunia. Khalifah umar telah memerintahkan umatnya mendirikan solat secara berjammah dan masjid-masjid dijadikan tempat untuk mempelajari hukum Allah sebegaimana yang berlaku di zaman Rasulullah SAW dan para Khulafa' Ar-Rasyidin. Baginda turut mengarahkan Muhammad b Abu Bakar Al-Hazni di Mekah agar mengumpul dan menyusun hadith-hadith Raulullah SAW.
Dalam bidang ilmu pula, beliau telah mengarahkan cendikawan Islam supaya menterjemahkan buku-buku kedoktoran dan pelbagai bidang ilmu dari bahasa Greek, Latin dan Siryani ke dalam bahasa Arab supaya senang dipelajari oleh umat Islam.
Dalam mengukuhkan lagi dakwah Islamiyah, beliau telah menghantar 10 orang pakar hukum Islam ke Afrika Utara serta menghantar beberapa orang pendakwah kepada raja-raja India, Turki dan Barbar di Afrika Utara untuk mengajak mereka kepada Islam. Di samping itu juga beliau telah menghapuskan bayaran Jizyah yang dikenakan ke atas orang yang bukan Islam dengan harapan ramai yang akan memeluk Islam.
Khalifah Umar b Abdul Aziz yang terkenal dengan keadilannya telah menjadikan keadilan sebagai keutamaan pemerintahannya. Beliau mahu semua rakyat dilayan sama adil tidak mengira keturunan dan pangkat supaya keadilan dapat berjalan dengan sempurna. Keadilan yang beliau perjuangan adalah menyamai keadilan di zaman datuknya, Khalifah Umar Al-Khatab ! yang sememangnya dinanti-nantikan oleh rakyat yang selalu ditindas oleh pembesar yang angkuh dan zalim sebelumnya.....
Beliau akhirnya menghembuskan nafasnya yang terakhir setelah memerintah selama 2 tahun 5 bulan
2 tahun 5 bulan satu tempoh yang terlalu pendek bagi sebuah pemerintahan.
Tetapi Khalifah Umar b Abdul Aziz telah membuktikan sebaliknya. Dalam tempoh tersebut, kerajaan Umaiyyah semakin kuat tiada pemberontakan dalaman, kurang berlaku penyelewengan, rakyat mendapat layanan yang sewajarnya dan menjadi kaya-raya hinggakan Baitulmal penuh dengan harta zakat kerana tiada lagi orang yang mahu menerima zakat...kebanyakannya sudah kaya ataupun sekurang-kurangnya boleh berdikari sendiri..
Semua ini adalah jasa Khalifah Umar b Abdul Aziz yang sangat masyhur, adil dan warak yang wajar menjadi contoh kepada pemerintahan zaman moden ini....hanya 852 hari dapat mengubah sistem pemerintahan ke arah pemerintahan yang diredahi Allah dan menjadi contoh sepanjang zaman..satu rekod yang sukar diikuti oleh orang lain melainkan ornag yang benar-benar ikhlas!
Posted by tiara-qurratu'aini at 7:57 PG 6 comments
Labels: Insan Terpilih (Rasulullah)
Dia Umar !
Sekian lama aku tidak menulis bagi ruangan "Rasulullah dan Sekitarnya" hari ini di sebabkan permintaan adikku Shaliza yang nak tahu tentang Umar Bin Abdul Aziz , aku pun merajinkan jari untuk menaip tambahan pula bahan-bahan pengisian tentang ini telah lama berapa dalam arkib laptop ku ini, cuma masa sahaja yang agak kurang memberi kesempatan..hihi...betulkah ini atau alasan diriku semata? erm...
apa pun aku harap semua beroleh info tambahan mahupun info baru mengenai Khalifah ini. Selamat mengembara ke zaman kegemilangan Pemerintah Islam.
Umar bin Abdul-Aziz (bergelar Umar II, lahir di Halwan, Mesir 63 H / 682, wafat Februari 720)[1] (Arab: عمر بن عبد العزيز) adalah khalifah Bani Umayyah yang berkuasa dari tahun 717 sampai 720. Tidak seperti khalifah Bani Umayyah sebelumnya, ia bukan merupakan keturunan dari khalifah sebelumnya, tetapi ditunjuk langsung, dimana ia merupakan sepupu dari khalifah sebelumnya, Sulaiman. Muhammad bin Ali bin Husain mengatakan tentang dirinya, “Kalian tahu bahwa setiap kaum memiliki orang yang yang menonjol? Yang menonjol dari Bani Umaiyah adalah Umar bin Abdul Aziz. Saat dibangkitkan di hari kiamat kelak, merupakan satu kelompok tersendiri.”
Biografi
Umar dilahirkan pada tahun 682. Ada dua pendapat mengenaai tempat kelahirannya iaitu pendapat pertama dia dilahirkan di Madinah manakala pendapat kedua mengatakan dia dilahirkan di Mesir. Bapanya ialah Abd al-Aziz, Gabenor Mesir dan adik kepada Khalifah Abdul Malik bin Marwan. Umar ialah cicit kepada Khalifah kedua Khulafa al-Rasyidin iaitu Saidina Umar Al-Khatab.
Menjadi Gabenor Madinah
Umar dibesarkan di Madinah dan tinggal di sana sehinggalah kematian ayahnya. Selepas itu dia dipanggil oleh Khalifah Abdul Malik ke Damsyik untuk mengahwini anak Khalifah Abdul Malik, Fatimah. Khalifah Abdul Malik meninggal dunia tidak lama kemudian dan digantikan dengan anaknya Al-Walid I yang kemudian melantik Umar sebagai Gabenor Madinah. Tidak seperti gabenor terdahulu, Umar menubuhkan sebuah majlis untuk membantunya menguruskan Madinah. Ramai orang berhijrah dari Iraq ke Madinah mencari perlindungan daripada kekejaman gabenor Iraq iaitu Hajjaj ibn Yusuf. Hal ini mendatangkan kemarahan Gabenor Iraq yang kemudiannya mendesak Khalifah Al-Walid supaya memecat Umar. Walaupun mendapat bantahan penduduk Madinah, Khalifah Al-Walid terpaksa tunduk kepada tuntutan Hajjaj.
Menjadi Khalifah
Umar terus tinggal di Madinah sepanjang pemerintahan Khalifah Al-Walid dan Khalifah Sulaiman. Khalifah Sulaiman yang juga merupakan sepupu Umar amat mengaguminya dan melantik Umar sebagai penggantinya walaupun ditentang oleh saudara terdekatnya. Umar dengan berat hati menerima jawatan ini walaupun mencuba beberapa kali untuk mengubah keputusan Khalifah Sulaiman. Umar tidak mementingkan kekayaan dan kemegahan dan memilih untuk hidup dalam kesederhanaan.
Walaupun mendapat sokongan yang tidak berbelah bahagi rakyat, beliau menggalakkan rakyat supaya memilih khalifah yang baru sekiranya mereka tidak berpuas hati dengan pemerintahannya. Beliau membahagikan tanah jajahan Ummayyah kepada rakyat dan amat jarang menerima hadiah kerana takut dirasuah. Beliau juga mendesak kaum keluarganya supaya mendermakan barang kemas kepada perbendaharaan awam.
Perubahan Pentadbiran
Umar juga melakukan beberapa perubahan keagamaan. Dia menghapuskan amalan menyumpah Saidina Ali Abi Talib semasa khutbah Jumaat. Khalifah Umar juga menguatkuasakan undang-undang Syariah dan menghapuskan amalan pembayaran cukai Jizyah terhadap saudara baru Islam walaupun mereka telah memeluk Islam.
Walaupun beliau tidak berminat untuk mengembangkan empayar Ummaiyyah, beliau berjaya menumpaskan beberapa pemberontakan dan penentangan.
Kewafatan
Perubahan yang dilakukannya menimbulkan kemarahan golongan bangsawan Ummaiyyah yang kemudiannya merasuah seorang hamba untuk meracuni makanannya. Umar mengetahui mengenai perkara ini dan memaafkan pesalah ini. Beliau wafat pada tahun 720 di Aleppo. Beliau digantikan oleh sepupunya Yazid II.
Pengiktirafan
Hadis Nabi S.A.W
"Allah akan mengirimkan seorang mujaddid (orang yang memperbaharui urusan agamanya) setiap seratus tahun"
Ijtima' ulama bersepakat mengatakan bahawa untuk kurun pertama Hijrah, Umar ibn Abd Aziz merupakan mujaddid pada kurun tersebut.
Hadis Nabi S.A.W yang diriwayatkan oleh Adi ibn Hatim sebelum beliau menjadi Muslim
"Adi ibn Hatim. Barangkali yang menghalangi engkau memasuki Islam adalah dengan kemelaratan kaum muslimin. Akan tiba masanya nanti di suatu zaman di mana seluruh umat Islam tidak layak menerima zakat lantaran kekayaan yang telah mereka miliki"
Berkata Adi ibn Hatim setelah dia menjadi seorang Muslim
"Aku telah melihat dua perkara yang dinyatakan oleh Nabi dan aku bersumpah perkara ketiga mengenai kekayaan umat Islam pasti berlaku"
Yahya ibn Said (salah seorang gabenor ketika pemerintahan Umar ibn Abd Aziz) menceritakan pengalamannya
"Umar ibn Abd Aziz telah mengutus aku ke Afrika Utara untuk membahagi zakat. Lalu kucari fakir miskin di sana tetapi tiada seorang pun yang layak digelar fakir miskin. Khalifah Umar benar-benar telah menjadikan rakyatnya kaya"
Pemimpin Bani Abbasiyyah mengatakan
"Kami dapat menandingi kerajaan Bani Ummaiyyah dalam semua hal kecuali 4 perkara. Salah satunya ialah tiada orang seperti Umar ibn Abd Aziz dari kalangan kami buat selama-lamanya"
**Cebisan kata-kata menarik
Pemerintah selalunya melantik pegawai untuk mengawasi rakyatnya. Aku melantik kamu untuk mengawasi diriku dan kelakuanku. Jika kamu mendapati aku melakukan kesalahan, bimbinglah aku atau halanglah aku daripada melakukannya.
- Umar ibni Abd al-Aziz.
Posted by tiara-qurratu'aini at 7:39 PG 0 comments
Labels: Insan Terpilih (Rasulullah)
Anarki Sebuah Kota
Berbicara tentang Greece, membuatkan saya tertarik untuk mengkaji dan menulis tentang fenomena yang digelar "ANARKI", sekali pandang mungkin kita akan mengatakan ianya satu vendalisme yang besar, namun sejuah mana benarnya tanggapan ini?
Sebagai tempat kelahiran demokrasi, Greece amat biasa dengan demonstrasi, mogok dan rusuhan yang membawa kepada kelahiran anarki.
Sebagai sebuah bandar terbesar dan ibu kota negara, grafiti sudah tidak asing lagi di dinding-dinding kotaraya Athens. Walaupun menjadi suatu masalah di sebaliknya menjadi suatu tarikan seni.
Mungkin sekadar penghias dinding atau tembok yang asalnya kosong tanpa motif atau penekanan mengenai sesuatu abstrak.
ada yang menjadikan dinding sekitar sebagai medan mempromosi ikon.
ada juga yang menggunakan dinding sebagai wadah keagamaan tersendiri.
dalam asyik melakar idea dan mencorak lukisan, penggemar anarki ini juga tidak lupa untuk mengetengahkan unsur alam seperti haiwan dan tumbuhan dalam beberapa lukisan mereka, hebat juga kan?.
ada jua yang menjadikan dinding ini sebagai landasan mengkritik politik dengan lebih terbuka dan menunjukkan penentangan secara berani misalnya.
ada juga yang menjadikan dinding atau tembok in sebagai tempat untuk mengadaptasikan fantasi dan ilham kreatif sendiri.
p/s: " Duhai teman, lakukanlah apa yang kamu suka selagi mana ia tidak mendatangkan keburukan kepada diri sendiri dan orang lain, kongsikan apa sahaja ilmu, ilham atau kelebihan yang kamu ada , dengan apa jua cara yang kamu mampu lakukan asalkan ianya tidak mencemarkan nama baik sendiri dan orang lain, kenyataan ini tidak bermaksud saya menyokong fenomena ini ataupun menolaknya, apa yag ingin saya katakan adalah, fikirlah serasional yang termampu sebelum melakuakan sesuatu dan kongsikan segala yang berfaedah dengan apa jua cara andai itu yang kamu rasakan terbaik. Seni tetap seni namun sejauh mana penerimaan serta ketinggian nilai seni yang tercoret itu terletak di atas tangan insan yang melakarnya."
Posted by tiara-qurratu'aini at 6:04 PG 6 comments
Labels: Cipta Tulis (Ilham Kreatif)

