THOUSANDS OF FREE BLOGGER TEMPLATES �

follower (teman setia membina Ilham)

Khamis, 2 Julai 2009

Siri Jacko VII


JOE (kanan) berdiri di belakang pentas anugerah Award Hiburan Kulit Hitam di Los Angeles kelmarin.

Hmmm, sebenarnya saya rasakan sudah terlalu banyak saya perkatakan mengenai penyanyi ini, bagi saya ianya sudah mencukupi, namun alang-alang saya bawakan kisah ini biarlah sampai ke penghujungnya.Berbaki lebih kurang 3 hingga 4 siri sahaja lagi untuk saya tamatkan kisah ini, rasanya sudah tidak sanggup lagi untuk mempersoalkan tentang ini, tapi atas pemintaan teman-teman saya lakukan jua. Kali ini berkisar tentang "BAPA JACKO SYAKI PERBUATAN KHIANAT"





LOS ANGELES - Bapa Michael Jackson, Joe mendakwa kematian anaknya itu mempunyai kaitan dengan perbuatan khianat, lapor sebuah akhbar semalam.

Menurut Joe, dia mengesyaki sesuatu kerana bagaimanana Michael yang berada dalam keadaan riang boleh meninggal dunia dengan tiba-tiba.

Dia menyatakan demikian kepada rangkaian berita ABC7 dana satu temu ramah.

"Michael meninggal dunia sebelum dia keluar rumah. Saya mengesyaki terdapat perbuatan khianat.

"Dia sedang melambaikan tangan kepada setiap orang selain memberitahu dia menyayangi mereka dan kepada semua peminatnya di pintu pagar.

"Beberapa minit selepas Michael berada di sana, dia kemudian meninggal dunia," kata bapanya itu.

Dalam satu temu ramah kedua pada anugerah Award Hiburan Kulit Hitam, Joe menyentuh mengenai kebimbangan keluarganya berhubung kematian Michael.

Dia memberitahu wartawan CNN: "Ya. saya mempunyai banyak perasaan bimbang. Saya tidak suka apa yang sedang berlaku."

Peguam keluarga itu, Londell McMillan kemudian masuk campur dengan berkata: "Kita tidak boleh bercakap mengenai perkara itu ketika ini. Terdapat bedah siasat yang kedua yang sedang dilakukan.

"Kami akan membiarkan proses itu berlaku. Kita akan banyak bercakap selepas ini."

Perkembangan itu berlaku selepas terbongkarnya pendedahan bahawa pembantu-pembantu Michael mengambil masa 50 minit sebelum menghubungi ambulans.

Panggilan talian 911 dibuat selepas usaha untuk memulihkan semula jantung Michael menemui kegagalan.

Drama itu disaksikan oleh seorang anak Michael iaitu Prince yang berumur 12 tahun yang menganggap bapanya itu bergurau sebelum seorang doktor mula menekan dadanya untuk cuba menyelamatkan penyanyi tersebut.

Michael meninggal dunia selepas degupan jantungnya terhenti pada Khamis lalu di rumah yang disewanya di sini. - Agensi

p/s:
" Duhai teman ...manusia hanya mampu menduga dan tiada kata yang mampu menterjemah natijah dugaan itu! "

Siri Jacko VI


PERHATIAN buat semua pembaca, ada yang bertanyakan kepada saya di mana saya dapati maklumat sebanyak ini mengenai Micheal Jackson, sehingga ada yang mengatakan saya ini mesti salah seorang dari peminat fanatik beliau, sebenarnya sangkaan itu amat terpesong, saya sekadar memenuhi permintaan teman-teman yang ingin saya mengulas mengenai kisah hidup raja pop yang misteri ini, Kebanyakkan info saya dapati daripada beberapa akhbar yang saya baca terutamanya Berita Harian dan Kosmo.

Saya teruskan entry hari ini sekita tajuk "
KEPUTUSAN BEDAH SIASAT JACKO BOCOR? "

LOS ANGELES - Keputusan bedah siasat yang dibocorkan kepada media menunjukkan Raja Pop, Michael Jackson amat kurus dan kepalanya hampir botak, lapor sebuah akhbar semalam.

Berat badan Michael yang mesra dengan panggilan Jacko ketika masih hidup ialah 50.8 kilogram dan perutnya hampir kosong kecuali mengandungi beberapa pil yang sudah larut.

Menurut keputusan bedah siasat itu, pinggul, peha dan bahunya dipenuhi dengan kesan jarum dipercayai akibat suntikan ubat penahan sakit.

Dia yang meninggal dunia ketika berumur 50 tahun memakai rambut palsu ketika dia didatangi anggota-anggota perubatan, kata laporan itu.

"Dia kurus kering, rambutnya gugur dan dia tidak menjamah makanan tetapi pil ketika meninggal dunia," kata satu sumber yang rapat dengan penyanyi itu kepada media.

Jacko meninggal dunia pada Khamis lalu di rumah yang disewanya di sini selepas diberikan ubat penahan sakit oleh doktor peribadinya.

Dia meninggal dunia selepas degupan jantungnya terhenti.

Menurut laporan bedah siasat itu: "Kesan suntikan terdapat di seluruh tubuhnya dan kecacatan itu disebabkan oleh pembedahan plastik yang dilakukan sejak bertahun-tahun lalu.

"Terdapat empat suntikan baru di sekitar jantungnya, kemungkinan daripada percubaan untuk mengepam adrenalin ke dalam jantung untuk menghidupkannya," kata laporan itu.

Tiga daripada suntikan itu sudah menembusi dan merosakkan dinding jantungnya manakala suntikan keempat di tulang rusuk.

Menurut laporan bedah siasat itu lagi, beberapa tulang rusuknya patah ketika usaha menyelamatkannya dilakukan pada Khamis lalu.

Penyanyi itu mempunyai lebam misteri di bahagian lutut dan tulang kering serta di belakang badannya kemungkinan menunjukkan dia pernah terjatuh.

Terdapat parut di kulitnya dekat telinga kirinya dan bahagian itu botak sepenuhnya. Parut itu mungkin wujud berikutan kemalangan ketika dia menjalani penggambaran iklan Pepsi pada 1984.

Dalam penggambaran itu, rambutnya terbakar.


Keluarga Jacko meminta bedah siasat kedua dilakukan selepas bedah siasat pertama tidak menunjukkan bahawa dia meninggal dunia kerana perbuatan khianat. - Agensi

p/s :
"Duhai teman, dalam hidup ini adakalanya sebuah pengiktirafan itu indah dan adakalanya ia susah...."

Siri Jacko V

SEORANG pekerja pengurus majlis pengebumian menyiapkan 
sebuah kereta kuda untuk upacara menyemadi Raja Pop, Micheal Jackson di Los Angeles kelmarin


Seterusnya saya bawakan kepada anda semua secebis reputasi atau kisah di sebalik kehilangan raja pop ini...tak mahu mengulas panjang selamat membaca, nilai dengan pemikiran positif , ambil ikhtibar dan jangan berprasangka buruk.

LOS ANGELES - Dilabel pelik semasa hidup, kisah peribadi Michael Jackson semakin bercelaru selepas kematiannya apabila timbul persoalan tentang siapa bapa kandung kepada tiga anaknya selain laporan berhubung rancangan upacara besar-besaran bagi memperingati Raja Pop itu kelmarin.

Laman web selebriti TMZ.com melaporkan bahawa tiga anaknya iaitu Prince Michael Junior, Paris Michael Katherine dan Prince Michael Jackson II yang masing-masing berusia 12, 11 dan 7 tahun bukan zuriat Michael.

Bekas isteri Michael, Debbie Rowe pula didakwa bukan ibu kandung kepada dua anak mereka yang paling tua.

Bagaimanapun, seorang peguam Rowe memberitahu majalah hiburan E! News bahawa anak guamnya ialah ibu kandung dua kanak-kanak itu.

"Kontroversi akan berkembang menjadi semakin rumit dan besar pada tahun depan," kata ketua pengarang TMZ, Harvey Levin kelmarin.

Pada hari yang sama, majalah selebriti US Weekly mendakwa bapa kandung Michael Jr dan Paris ialah pakar kulit yang pernah merawat penyanyi itu, Dr. Arnold Klein.

Identiti ibu tumpang kepada anak bongsu Michael, Prince Michael II, pula tidak pernah didedahkan.

Peguam Klein mengeluarkan satu kenyataan pada hari yang sama tetapi tidak mengesah atau menolak laporan US Weekly tersebut.

Tidak cukup dengan kontroversi itu, timbul pula dokumen yang didakwa wasiat Michael yang ditulis pada 2002 dan salinannya diserah kepada seorang peguam keluarga Michael.

Ia menamakan ibu Michael, Katherine sebagai penjaga tiga anaknya manakala asetnya diletakkan dalam satu tabung amanah dan diuruskan oleh penguamnya, John Branca dan eksekutif muzik, John McClain.

Wasiat itu menjadi misteri kerana ia belum pernah difailkan ke mahkamah.

Raja Pop itu turut dilaporkan mengenepikan bapanya, Joe Jackson daripada wasiat kerana mendakwa lelaki tersebut sebagai menderanya ketika zaman kanak-kanak.

Setakat ini, ibu Michael diberi hak penjagaan sementara ke atas tiga anaknya dan aset penyanyi berkenaan, sementara menunggu perbicaraan pada 6 Julai depan.

Sementara itu, beberapa laporan menyatakan jenazah Michael akan dibawa ke kediamannya di Neverland Ranch dekat Santa Barbara di California Tengah hari ini.

Ia dilakukan sebelum jenazah penyanyi lagu Beat It itu dipertonton kepada orang ramai dalam satu upacara besar-besaran pada hujung minggu ini.

Punca kematian Raja Pop yang meninggal dunia pada Khamis lalu pula hanya akan diketahui selewat-lewatnya enam minggu lagi setelah ujian keracunan diumumkan. - Agensi

p/s: Duhai sahabat..adakalanya kesilapan insan lain adalah teman petunjuk kebenaran yang nyata untuk insan lain...ambil ikhtibar dengan apa yang berlaku, kenang akan kebaikan seseorang individu itu dan belajarlah untuk menjadi insan yang sentiasa belajar ...renungkan.."

Siri Jacko IV

Salam sejahtera buat semua pembaca yang terus setia dengan pengembaraan "siri Jacko " menerusi blog saya, pada hari ini saya teruskan penulisan masih dengan tajuk yang sama iaitu informasi mengenai penyanyi kesayangan ramai ini.
Sekiranya sebelum ini saya pernah menulis mengenai masalah kesihatan raja pop ini, hari ini saya cuba kongsikan bersama anda nilai pembiayaan perubatan beliau pula.

Moga anda semua beroleh ikhtibar...


LOS ANGELES - Raja Pop, Michael Jackson berbelanja sehingga AS$49,290 (RM173,254) sebulan untuk membeli ubat-ubatan, lapor sebuah akhbar semalam.

Penyanyi lagu Thriller itu dipercayai mengambil banyak ubat bagi melawan beberapa penyakit yang dideritanya beberapa bulan sebelum meninggal dunia Khamis lalu.

Kesemua ubat itu dibeli dengan menggunakan nama samaran iaitu Omar Adams yang kebanyakannya dibeli di sebuah kedai di sini, Mickey Fine Pharmacy.

Antara ubat yang diambil penyanyi berumur 50 tahun itu ialah ubat tahan sakit Vicodin, ubat mengendurkan otot Soma dan bahan sedatif Xanax.

Michael juga mengambil ubat antitekanan Zoloft, antirisau dan ubat pedih hulu hati Priolosec.

Pendedahan itu adalah kebenaran mengenai tabiat pengambilan ubat-ubatan legenda itu di sebalik desakan keluarga Michael yang mahu mengetahui jumlah ubat yang diberikan kepada selebriti itu.

Seorang peguam keluarga Michael, Brian Oxman berkata:

"Randy (abang Michael) dijangka menerima satu salinan keputusan bedah siasat bagaimanapun pejabat koroner masih belum menghantarnya.

"Mereka menjangka ubat-ubatan itu menjejaskan kesihatan Micheal tetapi ia tidaklah seteruk itu."

Sebahagian ubat itu diberikan oleh pakar kulitnya, Arnold Klein.

Pada 2001, Michael disaman oleh syarikat Mickey Fine Pharmacy kerana berhutang AS$11,498.80 (RM40,415) dan dia turut berhutang dengan Dr. Klein sebanyak AS$29,568.34 (RM103,924) manakala pada 2002 seorang lagi pakar, Dr. Allen Metzger menuntut AS$26,282.97 (RM92, 376). - Agensi


p/s:
" Duhai kawan...adakalanya apa yg kita belanjakan untuk sesuatu yang kita rasakan perlu dan memberi kebaikan kepada diri kita itu adalah punca kepada pemasalahan kita....justeru itu, fikir sehabis-habisnya sebelum melakukan sesuatu.."

Rabu, 1 Julai 2009

Siri Jacko III


Setiap individu yang lahir di atas muka bumi Allah ini, pastinya dibekalkan dengan kelebihan dan kelemahan dari Yang Maha Bijaksana, agar kita tidak akan bermegah dan kufur dengan apa yang dimiliki.Setelah dikurniakan kelebihan di aturkan pula kelemahan diri, mengapa begitu sedangkan kita adalah sebaik-baik ciptaan? Mungkin kerana Dia Yang Maha Tahu itu ingin menunjukkan kepada kita bahawa kita ini saling bergantungan dan memerlukan antara satu dengan yang lain.

Tidak pernah saya menulis entry di blog sepanjang ini sehinggakan bersiri-siri. Saya berharap entry kali ini dapat memberi kepuasan dalam diri setiap pembaca.Pasti anda tertanya, apa kaitan pembuka entry ini dengan diri Jackco?... tidak ada apa yang saya ingin maksudkan sebenarnya melainkan kita juga jangan pernah terlupa bahawa kita termasuklah Jacko ini juga insan biasa, punya kelebihan dan kelemahan. Maka, tidak perlulah dipersoalkan mengenai isu-isu yang tidak patut dipersoalkan.

Sekadar muhasabah diri sepintas lalu...


Di sini saya lampirkan serba sedikit nilai ekstra yang ada pada diri diva ini:-

* menurut pendapat pakar pembedahan plastic. Jacko dipercayai melakukan lebih 40 kali pembedahan pada bahagian mukanya terutama memancungkan hidung, menaikkan tulang pipi dan meruncingkan dagu .
* Sejak tahun 1984, Jacko hidup dengan bergantung pil penahan sakit termasuk Demerol, Valium, Xanax dan Ativan yang membuat keluarganya begitu bimbang dengan ketagihan tersebut.
*Jacko dipercayai sedang mengalami maslah kewangan yang meruncing dan tidak mempunyai wang yang cukup untuk membayar peguamnya menyelesaikan kes-kes berprofil tingginya di mahkamah.
*Ramai yang menganggap Jacko sebagai lelaki magik dengan gaya Moonwalknya. Seni tari beliau belum dapat ditandingi sesiapa sehingga saat ini.
*Kebanyakkan peminat Jacko adalah berkulit putih berbanding daripada individu berkulit hitam.

p/s: "Duhai kawan...bershukurlah dengan apa yang dimilik, belajarlah menghargai apa yang ada hari ini agar ianya bukan menjadi parasit diri di masa hadapan, bersamalah kita berdoa agar kelebihan dan kekurangan yang ada pada diri kita ini menjadi landasan pautan ke syurga-Nya...Allahumma Amiin".

In sha Allah, kita jumpa pada siri Jacko iv untuk kupasan serba sedikit mengenai "apa itu vitiligo yang dialami".

Siri Jacko II


Salam sejahter buat semua pembaca, pada entri yang lepas saya telah menulis serba sedikit mengenai latar belakang Micheal Jackson, namun pada hari ini saya teruskan dengan topik seputar mengenai penyanyi pujaan ramai ini.

Terdapat pelbagai andaian mengenai beliau antaranya pertikaian orang ramai mengenai penyakit yang dialami, cara kehidupan yang pelik dan pelbagai lagi kontroversi tentang status sebenar kehidupan penghibur ini.

Mari bersama kita bongkar misteri....hehe~~


Biarpun terdapat beberapa bukti beliau melakukan proses tersebut, termasuk dilihat bertemu pakar kulit terkenal dunia dari Santa Monica yang mendapat pendidikan di Cambridge, Dr. Ralph Massey, selain kerap berkunjung ke sebuah klinik kulit di Beverly Hills, beliau tetap menafikan tindakannya memutihkan kulit.

Malah beberapa minggu sebelum kematiannya, Jacko turut didakwa berkunjung ke Hospital Cedar-Sinai di Los Angeles bagi mengetahui tahap kanser kulit yang dialaminya.

Beliau yang dilihat hadir ke hospital tersebut dengan menutup muka dan bersarung tangan, bagaimanapun, didakwa kelihatan lega serta membuka penutup mukanya selepas diberitahu doktor bahawa kanser kulit boleh diubati.

Malah sepanjang hayatnya, Jacko tegas mendakwa beliau menghidap penyakit vitiligo atau sopak – masalah kulit yang membuatkan kulit hitam berubah menjadi putih yang dihidapi sejak tahun 80-an.

Dalam satu temu bualnya bersama Oprah Winfrey tidak lama dulu, Jacko menegaskan beliau tidak pernah melakukan sebarang proses pemutihan. Beliau juga mempersoalkan mengapa tindakan individu yang berjemur untuk menghitamkan kulit tidak menjadi kontroversi, sebaliknya apabila dia menghidap vitiligo, semua orang mempersoalkannya.

“Saya tidak perasan bila penyakit ini menyerang. Kalau tak silap terjadi pada zaman album Off The Wall dan Thriller. Ini penyakit keturunan daripada bapa saya. Saya tidak boleh menghalangnya. Saya begitu sedih kerana ia berlaku dan tidak mahu bercakap tentang sejarah penyakit keluarga saya kerana ia terlalu peribadi.

“Betul, saya tidak melakukan proses pemutihan. Malah solekan banyak membantu menutup masalah kulit saya. Tapi saya pelik kenapa warna kulit saya menjadi lebih penting daripada seni dan karya saya?” bidas Jacko dalam temu bual tersebut.

Dalam satu temu bual lain pula, Jacko menyelar media yang mensensasikan cerita tentang skandal seks dengan kanak-kanak, aset, obsesi kecantikan, kejelikan serta cerita tentang eksentrik dan erotik seorang Jacko.

Menyangkal sinis kebanyakan kenyataan tidak berasas dalam media, kata Jacko, hanya dia yang mengenali dirinya sebenar. “Kenapa tidak beritahu orang bahawa saya makhluk asing dari planet Marikh?

“Beritahu mereka saya makan ayam hidup dan membuat pemujaan vodoo pada waktu malam. Mereka akan percaya apa yang kalian katakan kerana kalian media. Tapi kalau saya, Michael Jackson yang berkata begitu, siapa akan percaya?” selarnya.

Beberapa hari sebelum kematiannya, media yang sudah sekian lama menghidu tahap kesihatan Jacko yang tidak konsisten kembali mempersoalkan isu penukaran warna kulitnya, ketagihan pil tahan sakit dan tekanan terhadap konsert mega yang sepatutnya bermula pada 8 Julai depan di 02 Arena di Docklands, London.

Sewaktu banyak pihak masih lagi berdebat tentang kesahihan beliau menukar warna kulit untuk tidak dipinggirkan khalayak dan industri hiburan Amerika, Jacko sebenarnya sedang berusaha mengembalikan jiwa etnik kulit hitamnya melalui metafora dalam lagu-lagunya serta kerjasama yang dijalinkan dengan beberapa organisasi bukan kerajaan.

Malah metafora yang diterjemahkan dalam lagu hit Black Or White hasil karyanya itu adalah satu bukti beliau cuba memisahkan diskriminasi warna kulit. Antaranya pada bait berikut: If you’re thinkin of being my baby, It dont matter if you’re black or white (Jika kamu terfikir menjadi anak saya, ia bukan masalah sama ada kamu kulit hitam atau putih).

p/s: "Duhai sahabat, kenanglah seseorang atas kebaikan, kemampuan dan kenangan indah bersamanya. Usirkan jauh-jauh segala pemikiran buruk dan jumud mengenai diri seseorang individu yang disayangi, moga dengan tindakan itu dia disenangi dan kita disayangi...gunakan minda yang ada untuk berfikir setajam yang mampu. Jumpa dalam siri ketiga Jackco".

Siri Jacko I


Sebagaimana yang telah diketahui ramai selain khabar mengenai influenza A (H1NI) yang sedang hangat diperkatakan, dunia juga turut digemparkan dengan kematian seorang raja pop Amerika (Micheal Jackson)yang merupakan penghibur kegilaan ramai terutamanya golongan remaja di serata dunia.

Di sebabkan permintaan ramai agar saya memaparkan serba sedikit mengenai penyanyi ini, saya telah mengambil beberapa langkah awal untuk mengumpul maklumat mengenainya dan pada hari ini...saya akan cuba berkongsi serba sedikit pengetahuan yang ada mengenai penyanyi idola anda ini. Moga anda terhibur.


Dilahirkan sebagai keturunan Afrika-Amerika berkulit hitam, Michael Jackson cuba masuk ke politik Amerika dengan bertopengkan warna kulit putih yang dipercayai menjadi salah satu faktor kematiannya.

APABILA Raja Pop Dunia, Michael Jackson meninggal dunia pada 26 Jun 2009, dunia meratapi pemergian manusia luar biasa ini. Beliau meninggalkan segala kemewahan dunia pada usia 50 tahun dengan penuh tanda tanya selepas disahkan terkena serangan jantung di kediamannya di Los Angeles, Amerika Syarikat.

Segala spekulasi tentang Michael yang juga digelar Jacko ini telah terkubur bersama kematiannya – daripada isu cabul, diancam kemiskinan, jenayah seksual serta yang paling mendapat perhatian ialah isu ‘orang hitam ke orang putihnya’ yang masih dipersoalkan.

Pada saat ikon muzik dunia yang dianggap erotik dan eksentrik ini disemadikan, dunia masih tertanya-tanya tentang tindakan Jacko yang mahu mengubah ciptaan asal Tuhan hanya untuk ‘masuk’ ke dalam dunia Amerika.

Sedangkan pada realitinya anak Afrika-Amerika ini menjadi penyanyi kulit hitam yang mencetuskan revolusi muzik luar biasa sejak tahun 70-an. Dengan bakat semula jadi, beliau memecah tembok kasta warna kulit putih dan hitam melalui karya-karyanya.

Beliau juga menjadi penyanyi Afrika-Amerika pertama yang mendominasi hampir kesemua carta lagu dunia berbulan-bulan lamanya. Tidak cukup dengan itu, lima album studionya, Off The Wall (1979), Thriller (1982), Bad (1987), Dangerous (1991) dan HIStory (1995) menjadi album paling laris jualannya dalam sejarah bisnes muzik dunia.

Jika penjualan album tersebut masih tidak memadai untuk mengangkat Jacko sebagai legenda, fakta bahawa beliau disenaraikan sebagai penerima tiga kali pengiktirafan Guinness World Records barangkali hal paling baik untuk mengingatkan kita tentang fenomena Jacko.

p/s: " Duhai teman...mengetahui sejarah individu berkarisma itu bagus, satu usaha mengenang sejarah lampau, namun ...kenalilah individu yang banyak berbakti di sekitar kita hanya untuk agama, ilmu, maruah bangsa dan kedaulatan negara itu lebih lebih dahulu. Ambil ikhtibar dan pedoman dari kisah mereka. Jumpa lagi dalam siri Jacko II. Selamat membaca ".